Sambutan Deepavali di Melaka dalam SOP ketat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI BENDAHARA 23 Okt. – Sambutan Deepavali di Melaka pada tahun ini tetap dilaksanakan dalam prosedur operasi standard (SOP) ketat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Menurutnya, perkara itu telah diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa COVID-19 Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, semalam.

Katanya, walaupun Melaka sudah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), segala sambutan perayaan perlu diadakan dalam suasana norma baharu bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Deepavali tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya kerana walaupun kita dalam Fasa 4, tetapi sambutan perayaan secara besar-besaran masih tidak dapat dilaksanakan.

“SOP bagi Deepavali juga sudah dikeluarkan dan saya difahamkan ia tidak banyak beza dengan SOP pada tahun lalu.

“Jadi, saya harap, kita semua dapat mematuhi SOP norma baharu yang ditetapkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sempena Sambutan Deepavali anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BISTARI yang juga isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Datuk Wira Munira M Yusop, Setiausaha Khas (Hal Ehwal Masyarakat India) Datuk Wira M.S Mahadevan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik dan lain-lain kenamaan.

Dalam majlis itu, Sulaiman dan isteri telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, kuih raya dan kit makanan kepada 90 kaum India yang kurang bernasib baik di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post MIC hanya bertanding satu kerusi di PRN Melaka
Next post Muhyiddin, isteri terima suntikan dos penggalak
Ubah saiz-+=