Sambutan Krismas masyarakat Portugis meriah

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 25 Disember – Selepas dua tahun tidak disambut secara terbuka ekoran pandemik COVID-19, perayaan Krismasdi Perkampungan Portugis, di sini, berlangsung dengan penuh kemeriahan.

Tinjauan Melaka Hari Ini di perkampungan tersebut dapat melihat dan merasai kemeriahan perayaan Hari Natal yang jatuh pada tanggal 25 Disember setiap tahun.

Jika sebelum ini tiada sebarang hiasan dibuat oleh penduduk namun pada tahun ini setiap rumah dihias dengan pokok Krismas dan patung santa claus.

Tidak kurang juga meriahnya di kawasan sekitar perkampungan itu yang turut dihias dengan pokok Krismas dan ucapan dalam bahasa Portugis lama iaitu Bong Natal yang menarik perhatian pengunjung.

Menurut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Perkampungan Portugis, Marina Linda Danker, 56, sambutan Krismas tahun ini lebih bermakna buat lebih 140 keluarga berbangsa Portugis yang tinggal di situ.

Jelasnya, hampir semua rumah di perkampungan tersebut dihiasi pokok Krismas dengan kilauan lampu-lampu dan pelbagai hiasan.

“Kemeriahan dapat dirasai apabila tahun ini lebih ramai saudara mara yang tinggal di luar negara pulang ke kampung halaman dan aktiviti ziarah-menziarahi dapat dilakukan tanpa perlu hadkan pengunjung seperti tahun lalu.

“Sambutan Hari Natal di Kampung Portugis sememangnya akan meriah disambut pada setiap tahun, seperti malam tadi hampir 10,000 pengunjung hadir meraikan ambang Krimas di Pentas Utama Perkampungan Portugis.

“Perayaan kali ini tambah lebih bermakna lagi apabila ramai anak-anak yang tinggal dan bekerja di luar negara dapat berkumpul bersama. Kalau boleh lihat hampir setiap rumah dalam perkampungan ini menghiasi rumah mereka untuk sambutan Hari Natal hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Portugis, di sini, hari ini.

Sementara itu, Moses Hendricks, 60, yang tinggal berdua bersama ibunya, Magaret Hendricks, 88, berkata tidak banyak perbezaan antara masyarakat serani berketurunan Portugis di Melaka dengan penganut Kristian di negeri lain.

Sebagaimana masyarakat lain di negara ini, katanya, sambutan Krismas bermula dengan upacara keagamaan di gereja sebelum berkunjung ke rumah sanak saudara terdekat.

Lazimnya katanya, tradisi rumah terbuka diteruskan sehingga pada sambutan tahun baharu.

“Apa yang membezakan sambutan Krismas kita dengan yang lain, ialah juadah yang wajib disajikan oleh masyarakat Portugis pada setiap Krismas iaitu Kari Ayam Debble dan beberapa lagi sajian Portugis lain.

“Manakala hiasan-hiasan ini kita akan menggunakan perhiasan pada perayaan lepas, tapi sudah dua tahun tiada perhiasan, tahun ini kita hias lebih sikit, ‘balas dendam’ dalam menghias.

“Untuk hiasan, saya sanggup berhabis duit, ini kerana ramai namun saudara mara yang datang pasti akan bergambar dengan hiasan menarik sempena perayaan Krismas, tidak kurang juga pengunjung yang ingin bergambar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3113
Kongsi :
Previous post Jangkaan fenomena air pasang besar di Sandakan, penduduk pesisir pantai diminta kosongkan rumah
Next post Adun Kota terlibat kemalangan babit tiga kenderaan
Ubah saiz-+=