Sorting by

×

SAMENTA ‘suara’ PKS kepada kerajaan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDAR MELAKA 3 Jul- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Melaka menjadi penghubung suara syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada kerajaan negeri.

Pengerusi SAMENTA Negeri, Datuk Vong Woon Chin berkata kewujudan organisasi itu adalah bertujuan membantu menjaga kepentingan usahawan PKS di Melaka.

Katanya, ia bagi memastikan kemantapan pertumbuhan segmen perniagaan yang menjadi salah satu elemen terpenting dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara dan Melaka.

“Dengan kepesatan pertumbuhan sektor industri dan servis di negeri ini, kami berpandangan adalah perlu untuk mewujudkan satu organisasi yang dapat membantu menjaga kepentingan usahawan Perniagaan Kecil dan Sederhana atau PKS di Melaka.

“Tujuan utama SAMENTA peringkat negeri Melaka adalah untuk menangani titik-titik kelemahan ataupun ‘addressing the pain points’ yang dihadapi oleh pemain PKS di negeri ini.

“Dengan jaringan perniagaan antarabangsa yang telah tersedia, kami juga berharap untuk dapat membantu para peniaga di Melaka untuk memperluaskan pasaran bagi produk and perkhidmatan yang mereka tawarkan ke pasaran internasional melalui program-program penggalakan pemasaran yang bakal diadakan pada masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis pelancaran dan SME CEO Forum di Hotel Holiday Inn, di sini hari ini.

Terdahulu majlis berkenaan dirasmikan oleh EXCO Kanan Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi SAMENTA Malaysia Datuk William Ng.

Mengulas lanjut, Woon Chin berkata kerajaan negeri Melaka secara berterusan menggalakkan pelaburan oleh pelabur asing dan tempatan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baharu.

Ujarnya, dengan sasaran pelaburan tahunan sebanyak RM5 bilion, masyarakat PKS di Melaka akan dapat menerima faedah dari kerancakan pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

“Kami berharap untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk penggubalan dasar dasar yang lebih baik yang memberi faedah kepada PKS.

“Sehingga kini, SAMENTA Melaka telah menarik penyertaan kira-kira 100 ahli yang terdiri dari pelbagai sektor industri dan servis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1677
Kongsi :
Previous post PKS main peranan besar realisasi IR 4.0 di Melaka- Ab Rauf
Next post PM rasmi majlis penutup Jelajah AKM Perak
Ubah saiz-+=