Sorting by

×

SASAR 50,000 ORANG MELAKA GUNA APLIKASI MYSAMB

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

ALOR GAJAH 24 Disember – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menyasarkan 50,000 pengguna akan mendaftar dan menggunakan aplikasi MySAMB menjelang suku pertama 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman berkata, ini apabila pihaknya menerima reaksi positif apabila telah mencatatkan kira-kira 10,000 pengguna yang mendaftar sejak aplikasi MySAMB itu mula diperkenalkan pada 5 Disember.

Menurutnya, aplikasi mesra pengguna itu dibangunkan SAMB adalah untuk memudahkan pengguna melakukan transaksi pembayaran bil air secara dalam talian atau membuat aduan.

“SAMB mempunyai jumlah pengguna kira-kira 360,000 orang dan antara isu yang sering diketengahkan kepada kami adalah apabila ingin membuat bayaran mereka perlu datang ke pejabat.

“Justeru itu, kami mencari solusi dengan membangunkan aplikasi MySAMB dan dalam seminggu selepas mula beroperasi kami telah berjaya mencatatkan 10,000 pengguna.

“Untuk itu kami yakin menjelang suku pertama tahun 2026 akan ada 50,000 pengguna yang menggunakan aplikasi ini bagi membuat transaksi sama ada pembayaran atau aduan tanpa perlu hadir ke pejabat SAMB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hi Tea Dan Doa Restu: Meraikan Bakal Jemaah Umrah Dan Peserta Ziarah Keagamaan SAMB yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Villa Harmoni SAMB A’Famosa Resort, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Wira Ab Wahab Ab Latif.

Menurut Mohd Saleh, selain membuat bayaran dan aduan, aplikasi itu turut akan diperluaskan apabila dengan membolehkan pengguna membuat transaksi lain termasuk permohonan bekalan serta penamatan bekalan air.

“Sekarang ini SAMB menyasarkan respons untuk menyelesaikan segala aduan atau transaksi diterima dalam tempoh masa tujuh hari.

“Tetapi menjelang pertengahan tahun hadapan apabila sistem ini dimuat naik sepenuhnya kita menjangkakan ia akan berlaku dalam masa tiga hingga empat hari sahaja, sekali gus menjadikan semua urusan lebih cepat,” katanya.

Jelasnya lagi, bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan aplikasi MySAMB dan membuat transaksi secara dalam talian secara aktif, pihaknya akan melaksanakan beberapa insentif kepada pengguna yang akan diumumkan kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post ‘KITA TIDAK RAIH SIMPATI, TAPI JANGAN KITA DIMAKI..’
Next post JASIN MENUJU DAERAH MESRA PELABUR 2026