‘Saya hanya faham maksud tersurat’- Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 30 Okt – “Kalau daripada apa yang saya baca, Setiausaha Agung UMNO tidak sebut pun nama parti Bersatu, jadi kalau daripada penerimaan, pemahaman kita orang biasa, maknanya tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu”.

Itu reaksi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika diminta mengulas mengenai keputusan UMNO untuk menjalin kerjasama bersama PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, kenyataan dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan Khamis lalu itu jelas memberi gambaran bahawa UMNO tidak mahu menjalin kerjasama dengan partinya dalam pilihan raya itu.

Jelasnya, beliau hanya memahami maksud tersurat susulan keputusan yang dibuat UMNO itu, dan tidak memahami jika wujud maksud tersirat.

“Saya tak faham bila sesuatu dikeluarkan dalam media, yang saya faham hanya tersurat. Yang ada disitu (kenyataan media), itulah dia dan mereka mahukan okay, yang tersirat itu saya tak faham.

“Kalau dia kata itu sebenarnya macam ini atau itu, kita terpaksa bincang baru saya boleh jawab,” katanya selepas mengadakan lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali.

Semalam, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan PAS Melaka masih menunggu keputusan daripada PAS Pusat berhubung persefahaman politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diumumkan UMNO Khamis lalu dan dijangka akan diputuskan pada Ahad ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post Akta 342 masih terpakai, bukan hanya untuk PRN Melaka – Hamzah
Next post Amanah yakin menang sembilan kerusi di PRN Melaka
Ubah saiz-+=