Sebak terima diploma arwah anak

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 5 Disember – Linangan air mata hiba dan kegembiraan membasahi pipi Rohayah Ahmad, 63, ketika menerima skrol diploma bagi pihak anak perempuannya yang meninggal dunia pada Istiadat Konvokesyen Universiti Melaka (UNIMEL) Ke-25 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Rohayah, menerima skrol Diploma Sains Kejururawatan bagi pihak arwah anak bongsunya, Nur Izah Suhailah Yaacob, 21, yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya 11 Mei lalu.

Menurut Rohayah, Nur Izah Suhailah bercita-cita mengikut jejak langkah anak sulungnya, Nur Hazirah Yaacob, 26, untuk menjadi seorang jururawat.

“Arwah seorang yang terlalu baik, dengar cakap, rajin, lemah lembut dan sentiasa ringan tulang. Pernah juga arwah menyatakan hasrat mahu jadi jururawat seperti kakaknya selain melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Biarpun sedih, kami sekeluarga tetap berbangga dengan kejayaan arwah, namun Allah lebih menyayanginya, saya sebagai ibu reda dengan pinjaman yang sementara,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-25.

Dia memberitahu Nur Izah Suhailah, seorang yang amat disenangi rakan dan pensyarahkan selain aktif dalam pelbagai aktiviti korikulum yang dianjurkan UNIMEL.

“Beberapa hari sebelum arwah ‘pergi’ dia yang dikenali sebagai seorang yang ceria, tiba-tiba menjadi pendiam, lebih banyak habiskan masa menyendiri.

“Apa yang membuatkan saya sebak adalah, sebulan sebelum pergi arwah belanja kami sekeluarga makan malam menggunakan duit gaji pertamanya. Memang itu hasrat dia,” katanya.

Arwah Nur Izah Suhailah antara tiga graduan Anumerta pada Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-25.

Secara keseluruhan, seramai 861 graduan menerima skrol dengan pecahan, seramai 727 penerima diploma; 130 penerima ijazah sarjana muda dan empat penerima sarjana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3888
Kongsi :
Previous post Polis Besut tahan dua lelaki rompak kedai serbaneka
Next post Kenangan manis Nisa Asilah terima Anugerah Graduan Terbaik bersama ibu bapa
Ubah saiz-+=