Sedia rumah PPR bantu keluarga terkesan COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MACHAP 27 Okt – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memerlukan kerjasama kerajaan negeri dalam membantu menyediakan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kosong dalam membantu inisiatif program Rumah Ikram Keluarga Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, Rumah Ikram Keluarga Malaysia merupakan inisiatif KPKT bagi membantu keluarga yang kehilangan tempat berteduh akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, buat masa ini sebahagian daripada 1,000 unit rumah yang disediakan di bawah program itu hampir penuh manakala 1,000 unit tambahan akan disediakan bagi memenuhi permintaan semasa.

“Kita minta kerjasama kerajaan negeri untuk kenal pasti mana-mana rumah PPR yang masih kosong agar dapat disewakan kepada keluarga yang memerlukan tempat tinggal disebabkan hilang pekerjaan dan terkesan akibat COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Outreach 2.0 negeri Melaka yang turut dihadiri Exco Kesihatan Negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah.

ISMAIL bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan pengunjung Pusat MOVAK SMK Seri Pengkalan sempena program penutupan MOVAK 2.0.

Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri September lalu mensasarkan rumah-rumah PPR untuk dijadikan tempat berlindung bagi rakyat yang kehilangan tenpat tinggal kerana tidak mampu membayar sewa rumah akibat terkesan pandemik COVID-19.

Mereka yang layak mendapat faedah itu diberi pengecualian bayaran sewa RM124 sebulan hingga enam bulan dan tinggal selama tempoh maksimum dua tahun.

Selain itu, menurut Ismail, mana-mana rumah PPR yang dikenal pasti nanti akan diselia oleh pihaknya dan diberikan kepada mereka yang layak menikmati manfaat tersebut.

“Maka, kita harap kerajaan negeri dapat bekerjasama dan memberikan mana-mana rumah PPR yang kosong supaya kita boleh bantu lebih ramai keluarga yang tiada tempat tinggal akibat terkesan dengan COVID-19 ini,” ujarnya.

Permohonan Rumah Ikram Keluarga Malaysia boleh dibuat secara dalam talian melalui portal TEDUH KPKT melalui capaian https://teduh.kpkt.gov.my.

Maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui portal rasmi KPKT di www.kpkt.gov.my atau portal rasmi Jabatan Perumahan Negara di https://ehome.kpkt.gov.my.

Syarat-syarat permohonan bagi Rumah Ikram Keluarga Malaysia ialah pemohon dan pasangan warganegara Malaysia, berusia 18 tahun dan ke atas, tidak memiliki rumah atau tempoh sewaan ditamatkan oleh tuan rumah dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: PN pertaruh calon berpengalaman, muka baharu
Next post SWM Environment sasar 100 rumah ibadat berdaftar KITARecycle
Ubah saiz-+=