Segera muktamad pemberian subsidi penternak ayam

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) berharap kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama kepada penternak ayam tempatan dimuktamadkan segera bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.

Presiden BRO Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata ini susulan penetapan harga maksimum runcit bagi ayam standard yang dikurangkan sebanyak 20 sen menjadikan harga siling ayam pada RM8.90.

“Penternak ayam kecil-kecilan akan susah bila harga ayam turun. Kalau diberi AP (Permit Kelulusan) kepada MYDIN atau sesiapa untuk beli ayam import, harapnya kos kita lagi rendah.

“Tetapi (kita) takut penternak kecil tempatan mungkin tidak dapat menampung kos. Saya harap kerajaan akan bagi subsidi muktamad kepada mereka, sekurang-kurangnya mereka boleh terus bertahan… kerana sekarang ini harga makanan ayam mahal sikit, nak cari pekerja susah dan kos logistik yang mahal,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan beliau memaklumkan BRO menyambut baik keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 31 Jan lepas yang menyelesaikan isu bekalan serta pengeluaran makanan terutama ayam dan telur ayam.

“BRO turut menzahirkan ucapan penghargaan atas keputusan kerajaan membuka permit import ayam kepada semua pemegang AP dan juga pembukaan AP kepada pengusaha pasar raya besar,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kerajaan menerusi NACCOL memutuskan harga runcit maksimum ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan dan harga telur ayam untuk semua gred kekal seperti harga kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia semasa bermula dari 5 Feb hingga 5 Jun. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1870
Kongsi :
Previous post Mayat wanita ditemukan terapung di sungai
Next post LeyPark Station, macam-macam ada
Ubah saiz-+=