Sekolah di Melaka perkemas SOP hadapi kemungkinan gelombang COVID-19 Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

PAYA RUMPUT 7 Mei – Kesemua sekolah di negeri ini bakal memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan mendadak kes COVID-19 selepas Aidilfitri.

EXCO Pendidikan Negeri Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka akan memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak demi memastikan sistem pendidikan berjalan lancar.

Justeru, beliau berkata, tidak perlu wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Di pihak kerajaan negeri, kita yakin jika berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19, kita akan pastikan SOP dipatuhi dan kes dikawal selia dengan baik.

“Pada saya, ibu bapa perlulah mengikut saranan ditetapkan untuk menghantar anak-anak ke sekolah seperti biasa bagi memastikan kelancaran pendidikan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di kediamannya, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas isu ponteng pelajar disebabkan sikap segelintir ibu bapa yang takut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, Rais memaklumkan isu berkenaan dianggap kes terpencil di negeri ini.

“Setakat ini, saya tidak menerima data berkenaan, jadi saya tidak boleh ulas. Cuma saya percaya ia merupakan satu isu terpencil di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

961
Kongsi :
Previous post 10 lelaki ditahan ‘perang’ bunga api
Next post Sarung tangan mampu bunuh virus dilancarkan
Ubah saiz-+=