Selawat Jibril wasiat terakhir suami

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

MASJID TANAH 15 Sept – “Sebelum pergi buat selama-lamanya, suami, Shaiful Aman Ab Rahim minta saya amalkan selawat Jibril, itulah wasiat terakhir suami,” kata Norzaliza Zakaria yang kehilangan suami tercinta akibat COVID-19 pada 18 Ogos lalu.

Menurut Norzaliza, 39, pengorbanan dan kasih sayang Shaiful, 45, terhadap dirinya dan tiga anak mereka, Nur Qurratu’aini, 13, Muhammad Qhalish Rayyan, 7, dan Amir Zayan, 6 tahun, seperti tiada penghujungnya walaupun ketika itu nyawa Shaiful berada dalam bahaya.

“Tujuh tahun arwah suami berulang-alik dari Masjid Tanah ke Nilai, Negeri Sembilan sejauh 160 kilometer kerana bekerja sebagai penyelia syarikat kejuruteraan dengan hanya menunggang motosikal.

“Dia langsung tidak pernah mengeluh demi mencari rezeki untuk kami empat beranak dan saya tidak sangka, pada saat-saat akhir dalam hidupnya juga, dia sempat berpesan kepada saya untuk mengamalkan selawat Jibril sewaktu kami buat panggilan video pada Subuh 18 Ogos itu,” katanya.

ISMAIL (kanan) menyampaikan replika cek Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat kepada Norzaliza dengan disaksikan Abd. Razak.

Norzaliza ditemui ketika lawatan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ar. Ismail Othman dan Pengarah PERKESO Melaka, Abd. Razak Omar sempena program Bantuan dan Faedah Prihatin PERKESO di rumahnya dekat Bandar Baru Masjid Tanah.

Pada majlis itu, Ismail menyampaikan sumbangan faedah Pencen Penakat berjumlah RM2,528 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada Norzaliza yang merupakan waris Shaiful Aman yang mencarum dengan PERKESO sewaktu bertugas dengan beberapa majikan sejak 1996.

Norzaliza yang bekerja di sebuah syarikat gas di Bukit Rambai itu berkata, pesanan akhir suaminya itu dijadikan wasiat dan pegangan untuk dirinya dalam membesarkan tiga anak mereka sehingga berjaya satu hari nanti.

Menurutnya, biarpun suami telah tiada buat selama-lamanya namun dia merasakan kekuatan dan semangat suaminya itu masih berada dalam diri ketiga-tiga anaknya.

“Memang suami saya sudah tiada tetapi dia masih ada dalam diri setiap anak-anak saya, itu menjadi pegangan dan kekuatan pada saya untuk menempuh hidup dan menjaga anak-anak pada hari-hari mendatang,” katanya.

Katanya, anaknya yang bongsu, Amir Zayan masih tidak memahami kejadian itu dan merasakan bapanya masih pulang ke rumah setiap kali mendengar enjin motosikal melalui hadapan rumah mereka.

“Seminggu selepas arwah suami tiada, Amir Zayan akan meluru pintu rumah untuk mencari bapanya yang disangkakan pulang ke rumah dari tempat kerja seperti kebiasaannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1922
Kongsi :
Previous post Zainuddin Abdul Wahab kini Ketua Pengarah Tourism Malaysia
Next post COVID-19 rampas kebahagiaan saya, anak-anak
Ubah saiz-+=