Selawat Nabi bergema di Kampung Ramuan China Besar

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER LIMAU 22 Oktober – Terik matahari tidak menghalang kira-kira 800 penduduk Kampung Ramuan China Besar menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul, di sini hari ini.

Perarakan yang berlangsung kira-kira jam 9.40 pagi tadi bermula dari Pekan Ramuan China Besar sejauh kira-kira satu kilometer menuju ke Masjid Al Muhtadi di kampung berkenaan.

Seluruh penduduk terdiri daripada golongan emas sehingga kanak-kanak tidak mematahkan semangat mereka melakukan perarakan itu sambil berselawat di atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung itu, Suhaimi Jantan berkata, sambutan tersebut merupakan julung kali diadakan di dalam komuniti terbabit selepas hampir lapan tahun tidak dianjurkan sebelum ini.

Katanya, program diadakan itu sekali gus mewujudkan rasa kasih dan cinta pada junjungan Nabi Muhammad S.A.W. dan menggamit syiar Islam yang sebenar dalam kalangan penduduk.

“Apa yang penting persaudaraan dalam kalangan penduduk selama ini dapat diperkukuhkan dengan silaturrahim yang dibentuk.

“Sebelum ini penganjuran hanya membabitkan ceramah dan dianjurkan secara kecil-kecilan akibat pandemik COVID-19 dan Alhamdulillah kali ini kita berjaya menganjurkan dengan perarakan yang penuh sambutan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al Muhtadi dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung ini” katanya kepada Melaka Hari Ini.

AFE52733-21C9-465F-92CD-17A273721CAE
Kanak-kanak turut menyertai perarakan berselawat atas Nabi di Kampung Ramuan China Besar

Terdahulu, program yang diadakan itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Hakim Abdul Wahid dan Pengerusi Masjid Al Muhtadi, Maaris  Rokman.

Program itu turut disusuli program Ceramah Perdana disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Rahmat dengan bertajuk Mengenang Pengorbanan dan Perjuangan Rasulullah S.A.W..

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2412
Kongsi :
Previous post Zii Jia tepati ramalan ke separuh akhir Terbuka Denmark
Next post Trafik mula perlahan di beberapa lebuh raya utama pagi ini
Ubah saiz-+=