Selekoh maut Kuala Sungai Baru ancam pengguna jalan raya

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI 17 Jun – Dua selekoh di sekitar Kuala Sungai Baru, di sini, perlu diambil perhatian segera oleh pihak berwajib memandangkan lokasi itu kerap berlaku kemalangan maut.

Selain selekoh yang tajam, keadaan jalan yang mengelirukan tanpa tanda amaran mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya di kawasan itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Rosli Abdullah, dua lokasi yang dikesan sebagai titik panas kemalangan ialah di selekoh Kampung Teluk Belanga dan selekoh berhampiran persimpangan berdekatan Pasar Basah Kuala Sungai Baru.

Mengambil contoh selekoh Telok Belanga, Rosli mendakwa, setakat ini sudah lebih 10 kemalangan maut berlaku di kawasan itu yang mana ia dilihat cukup membimbangkan.

“Di selekoh itulah yang kita lihat semakin kritikal apabila semakin kerap kemalangan berlaku.

“Baru baru ini juga berlaku kemalangan yang mengakibatkan sebuah kereta terbalik akibat keliru dengan jalan itu, dan esoknya berlaku lagi kemalangan di lokasi sama.

“Ada juga beberapa tahun lalu, tiga kemalangan berlaku dalam tempoh sehari sehingga ada yang maut berpunca dari selekoh itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sisa kenderaan yang ditinggalkan akibat kemalangan di kawasan itu.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko kemalangan berlaku di kawasan itu, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah di lokasi terbabit bagi mencari penyelesaian terbaik.

Dalam lawatan ke lokasi, ujarnya, JKR mengakui jalan itu berbahaya kepada pengguna jalan raya, khususnya di waktu malam.

“JKR memaklumkan mereka akan mengambil tindakan segera dalam masa terdekat dengan memasang lebih banyak garisan kuning dan papan tanda sebagai langkah pencegahan awal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2360
Kongsi :
Previous post MBMB anjur Pendengaran Awam #DuyongKita Ahad ini
Next post Melaka lulus bantuan bulanan RM600 bantu nenek jaga empat cucu
Ubah saiz-+=