SEMPAT TENGOK BUNGA API SEBELUM LAHIRKAN ‘HERO’ MERDEKA

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 September – Seorang ibu Nur Farahin Miszan, 32, sempat menyaksikan pertunjukan bunga api sempena Hari Kebangsaan Ke-69 di Merlimau malam sebelum melahirkan anak di Hospital Melaka kira-kira jam 6.08 pagi semalam.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, sakit kontraksi datang setiap lima minit namun dia tetap gagahkan diri kerana mahu menyaksikan sendiri persembahan itu tanpa menyangka akan melahirkan anak ketiganya pada Hari Kebangsaan.

Kongsi Nur Farahin, dia dan suami tiba di lokasi sambutan ambang Merdeka di Merlimau kira-kira jam 11 malam bersama dua anaknya berusia sembilan dan tujuh tahun, walaupun ketika itu sudah mula mengalami kontraksi.

“Memang setiap lima minit ada rasa sakit dan perut mengeras tetapi saya nak juga bawa anak-anak tengok bunga api. Alhamdulillah, saya sempat tahan sampai bunga api habis dan selepas itu saya pulang ke rumah, mandi dan bersiap sebelum ke hospital kira-kira jam 2 pagi.

“Aturan Allah itu indah, syukur tidak terhingga apabila saya selamat melahirkan bayi lelaki secara normal kira-kira jam 6.08 pagi tanggal 31 Ogos, sekali gus menjadikan kelahiran ini kenangan paling istimewa buat saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bayi Merdeka Melaka 2026 di Hospital Melaka di sini, semalam.

Berkongsi nama anaknya, Nur Farahim memaklumkan bayi lelaki yang dinamakan Aiden Daniel itu dilahirkan ketika usia kandungan genap 39 minggu.

Tambahnya, dia melahirkan bayinya lebih awal sedangkan tarikh jangkaan bersalin sebenarnya pada 18 September dan pengalaman itu menjadi lebih bermakna kerana dua anak terdahulunya juga lelaki, sekali gus menjadikan Aiden Daniel sebagai ‘hero’ ketiga dalam keluarga.

Katanya, dua kelahiran terdahulu berlaku pada usia kandungan 39 minggu lebih dan 38 minggu, manakala kelahiran ketiganya kali ini berlaku secara semula jadi.

“Saya pernah terfikir tak mahu anak lahir bulan Ogos tetapi ramai juga yang doakan supaya lahir 31 Ogos dan saya aminkan saja dan tak sangka akhirnya betul-betul lahir pada Hari Merdeka, Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Farahin turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan dan sumbangan yang diterimanya selepas melahirkan anak ketiganya itu.

“Terima kasih kepada semua yang datang melawat dan memberikan sumbangan. Saya sangat teruja kerana ini kali pertama menerima kunjungan seperti ini dan ramai datang melawat anak juga sangat saya hargai,” katanya sebak.

Untuk rekod, sempena Hari Kebangsaan Ke-69, seramai sembilan bayi dilahirkan di Hospital Melaka bermula tengah malam sehingga jam 10 pagi pada 31 Ogos 2026.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Isteri kepada Ketua Menteri Melaka Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Hospital Melaka Dr. Shahrum Arshad dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain turut melawat bayi yang lahir pada tanggal 31 Ogos 2026 di Hospital Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post LEBIH 13,000 SERBU TIGA PRODUK PELANCONGAN PPSPM PERCUMA