Seorang lagi direman bantu siasatan kes kemuka penyata akaun bank syarikat palsu

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

ALOR SETAR, 16 Jan – Seorang lagi individu yang merupakan pemilik syarikat ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu pada 2018 dan 2019.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Nur Nabilah A. Zainudin selepas SPRM membuat permohonan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi.

Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di Wilayah Utara untuk memasuki tender pada 2018 dan 2019.

Sumber memaklumkan lelaki itu ditahan pada kira-kira 3.30 petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan sekali gus menjadikan seramai 18 individu telah direman setakat ini berkaitan kes tersebut.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 12 Jun lepas, media melaporkan sebanyak 25 syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes mengemukakan penyata akaun bank yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di sini antara 2018 dan 2019.

Sumber SPRM dipetik sebagai berkata kesemua syarikat dipercayai melakukan perbuatan itu bagi melayakkan mereka mendapatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta daripada syarikat pembersihan berkenaan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post Pekerja IPTS jumpa anak buaya semasa bersih longkang
Next post Pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan dijangka meningkat tahun ini
Ubah saiz-+=