Sorting by

×

SEORANG MAUT, EMPAT CEDERA DALAM NAHAS DI LAMPU ISYARAT PADANG JAMBU

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BUKIT KATIL 10 Februari – Seorang penunggang motosikal maut manakala empat lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu melibatkan tiga buah motosikal dan tiga buah kereta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Melaka menghala ke Bukit Beruang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan dipercayai kerana ‘microsleep’ sebelum merempuh lima lagi kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Akibat perlanggaran tersebut, seorang penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian.

“Manakala empat lagi mengalami kecederaan termasuk pemandu Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dan ujian pernafasan ke atas pemandu Myvi berkenaan didapati negatif manakala kenderaan terlibat dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan Puspakom.

“Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada saksi bebas turut diperoleh bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post 16 BARANGAN KAWALAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA 2026
Next post 400,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK MELAKA SEMPENA TAHUN BAHARU CINA