Sorting by

×

Siapa kata wanita berumur tidak boleh berjasa? – Shahrizat

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

BANDAR MELAKA 11 Sept – Pemimpin wanita muda perlu mengamalkan sifat menghormati dan mengenang jasa serta pengorbanan pemimpin wanita terdahulu dalam memperjuangkan peranan masing-masing ketika mendepani era pandemik COVID-19.

Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, wanita yang merdeka adalah wanita yang menghormati pendirian dan pendapat wanita terdahulu.

Beliau yang juga bekas Ketua UMNO berkata, setiap wanita tidak kira dalam keluarga mahupun dalam kalangan ahli parti perlu saling menyayangi dan menghormati supaya legasi tanggungjawab dan pengorbanan itu diingati sepanjang zaman.

“Jangan ingat wanita berumur tidak boleh berjasa, semangat merdeka mereka kadang-kadang kalah yang muda.

“Apa sahaja yang kita perjuangkan dalam Wanita UMNO, yang akan mendapat manfaat dan pewarisnya adalah Puteri (UMNO), jadi kedua-dua golongan itu perlu bekerjasama dan jangan ada perasaan cemburu kerana kita ada tempat untuk semua.

“Kita jangan sesekali melupakan sejarah, tengok sahaja perjuangan Allahyarham Datuk Siti Rahmah Kassim (wanita UMNO yang memberikan gelang emas hadiah perkahwinannya kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi membiaya perjalanan menuntut kemerdekaan di London).

“Kalau bukan kerana perjuangan beliau, tidak ada kita ini,”katanya ketika menjadi ahli panel dalam Program Bicara Tokoh Politik ‘Wanita Malaysia Merdeka’ anjuran Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka menerusi Google Meet hari ini.

Hadir sama menjadi ahli panel, Penasihat Khas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan turut serta, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Program berkenaan turut dikendalikan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah selaku moderator program berkenaan.

SHAHRIZAT ketika membicarakan mengenai peranan wanita merdeka dalam Program Bicara Tokoh Politik ‘Wanita Malaysia Merdeka’ anjuran Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka menerusi Google Meet, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, pada hari ini cabaran pemimpin wanita mendepani COVID-19 adalah membantu ibu tunggal yang tiada sumber pendapatan, menangani kesihatan mental termasuk kes bunuh diri dan tekanan rumah tangga.

“Jadi wanita tidak kira peringkat usia perlu memperjuangkan nasib wanita lain. Sebagai orang Islam, kita ambil berkat, amalkan konsep sayang yang sememangnya ada dalam naluri wanita kerana apabila kita sayang, apa sahaja yang dilakukan akan lekat dalam hati.

“Ketika Kak Ijat (merujuk dirinya) menjadi pemimpin wanita, kalau kita hendak orang hormat kita sebagai pemimpin, kita mesti sayang dan hormat mereka.

“Kepada semua wanita, ingat tidak kira umur, ada tempat dalam perjuangan,” katanya.

Shahrizat bagaimanapun berkata, perjuangan masa kini bagaimanapun tidak boleh disamakan dengan perjuangan wanita pada zaman terdahulu.

Jelasnya, perjuangan wanita hari ini boleh diselarikan dengan konsep Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post 200 petugas barisan hadapan negeri lain bantu Pulau Pinang
Next post Tiga faktor punca tiada sijil digital di Mysejahtera – Dr Adham
Ubah saiz-+=