Silat jadi gaya hidup masa kini – PM

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 31 Julai – Seni silat seharusnya dijadikan budaya dan gaya hidup masa kini agar ia terus kekal relevan sepanjang masa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, silat seharusnya dipraktikkan dalam kalangan generasi muda masa kini, sekali gus memartabatkan seni yang telah lama bertapak di negara ini.

Menurutnya, seni mempertahankan diri itu mampu membentuk keterampilan dan jati diri seseorang jika mempelajarinya.

“Saya berharap seni silat akan terus dipraktikkan oleh generasi masa kini dan akan datang supaya ia kekal dimartabatkan dan terus relevan sepanjang masa.

“Budaya persilatan yang telah lama bertapak ini perlu dikekalkan agar dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Seni silat juga mendidik pengamalnya supaya tidak mudah mengalah dan berjiwa besar, selain sentiasa menyemai dan menyemarakkan semangat perjuangan pejuang silam,” katanya.

PUSINGAN pertama peringkat akhir dalam VIP Match Round 1 disaksikan tetamu yang hadir dalam pertandingan itu selepas dirasmikan Ismail

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada perasmiannya Majlis Penutupan Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 Tahun 2022 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Presiden Federasi Pencak Silat Dunia (Persilat) merangkap Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Datuk Seri Prabowo Subianto; Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta tetamu lain.

Pada masa sama, beliau berkata, jumlah pendaftaran yang diterima persatuan silat ketika ini juga menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat peningkatan lebih lapan kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Baru-baru ini, tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah mencetuskan fenomena di negara ini dan meninggalkan impak luar biasa dengan kutipan sehingga RM90 juta hanya dalam tempoh 33 hari ditayangkan.

“Malah, persatuan silat menerima banyak ahli baharu, saya difahamkan lebih 40 pelajar baharu mendaftar untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini berbanding hanya empat atau lima orang pelajar dalam tempoh setahun sebelum ini,” katanya.

Katanya, situasi itu jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk mengenalinya secara mendalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1578
Kongsi :
Previous post Nazam bentuk jati diri belia
Next post RM1 juta martabat seni silat di persada dunia
Ubah saiz-+=