Sindiket judi ‘online’ digempur

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KLEBANG 7 Jun – Taktik sindiket perjudian atas talian yang menjadikan sebuah kondominium di Jalan Klebang Kechil sebagai pusat panggilan aktiviti itu terbongkar selepas polis menahan enam individu termasuk seorang wanita, semalam.

Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan berjaya menahan semua suspek berusia antara 18 hingga 34 tahun pada jam 5 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan awal mendapati pusat berkenaan menjalankan operasi pusat panggilan sindiket itu sejak tiga minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

Katanya, ketika serbuan dijalankan, semua suspek dipercayai sedang menjalankan kegiatan perjudian atas talian.

“Siasatan lanjut mendapati semua suspek berkenaan berasal dari Kota Tinggi, Johor dan menyewa di kondominium berkenaan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Hasil semakan mendapati dua daripada suspek ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah mengikut Akta Judi Rumah Terbuka 1953 dan Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata susulan itu polis merampas tiga set komputer riba, satu telefon bimbit, kad akses kondominium, empat kerusi dan satu meja untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) c Akta Pertaruhan,” katanya.

LAMAN sesawang judi online yang dikesan oleh polis.

Dalam serbuan berasingan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jasin, beliau berkata, polis menahan lelaki berusia 58 tahun dipercayai menjalankan aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen di sebuah kedai runcit Taman Umbai Impian kira-kira jam 1.30 petang.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan mengikut 4A(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan kegiatan loteri awam.

“Polis sedang mendapatkan tempoh reman bagi kesemua suspek ditahan hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

785
Kongsi :
Previous post Perkampungan haram warga asing di Cyberjaya diserbu
Next post Tangguh program tidak berkaitan PdPR bagi kurangkan beban guru- NUTP
Ubah saiz-+=