Sindiket pecah ‘kondo’ tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Empat individu termasuk dua wanita yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah dicekup polis dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek itu ditahan polis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, sejak 14 Mac hingga 22 Mac.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan diterima berhubung kejadian pecah unit kondominium di Klebang, pada pada 2 Mac yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM50,000 termasuk barangan kemas serta wang tunai.

“Hasil risikan dibuat kemudian membawa kepada tangkapan dua suspek lelaki pada 14 Mac sebelum membawa kepada dua lagi tangkapan membabitkan seorang wanita serta lelaki, kelmarin.

“Kesemua suspek yang berusia 34 hingga 51 tahun itu dipercayai terbabit dengan sindiket jenayah pecah rumah membabitkan jenis kondominium termasuk residensi,” katanya.

Menurut beliau, dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai barangan mewah termasuk jam tangan, beg tangan termasuk dua buah kenderaan.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah membabitkan Kontinjen Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Bagi dua tangkapan awal mereka akan direman sehingga 27 Mac manakala dua lagi suspek direman sehingga 29 Mac depan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post Lima lebuh raya terlibat sistem pembayaran tol terbuka – Nanta
Next post Kematian akibat tibi di Malaysia meningkat tahun lepas
Ubah saiz-+=