Siri jelajah aspek perundangan pertama dilancarkan di Melaka hujung Januari

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

LENDU 16 Jan – Melaka dipilih menjadi negeri pelancaran program siri jelajah seluruh negara bagi meningkatkan pengetahuan anggota komuniti mengenai aspek undang-undang oleh Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin
menjelaskan, ia akan dilancarkan menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada hujung bulan ini.

Beliau berkata, siri berkenaan penting kerana masih ada anggota komuniti tidak memahami kaedah untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman, selain tidak memahami mengenai fungsi Jabatan Insolvensi.

“Kita akan turun padang untuk mengadakan pameran dan sesi dialog dengan anggota komuniti mengenai undi 18 di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seumpamanya.

“Program di setiap negeri berbeza mengikut keadaan di negeri itu,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Mas Ermieyati bergambar bersama murid cemerlang UPKK di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini.
– Foto DIN AHMAD

Beliau berkata, kebanyakan anggota komuniti masih keliru mengenai undi 18 yang bakal menyaksikan remaja diberikan peluang sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengenai anugerah berkenaan, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, seramai 555 murid yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan itu tahun lalu diberikan RM100 seorang dan 169 murid yang memperoleh 7A dianugerahi RM80.00.

“Kami menyediakan RM100,000 untuk menghargai kecemerlangan mereka dalam peperiksaan itu selepas tidak dapat menganjurkannya bagi peperiksaan UPKK 2020 kerana perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, anugerah berkenaan secara tidak langsung membantu meningkatkan motivasi murid untuk mencipta kejayaan dalam peperiksaan lain.

Mas Ermieyati bagaimanapun melahirkan kekesalannya berikutan ada pihak tertentu yang didakwanya memberikan arahan kepada guru dan guru besar Sekolah Rendah Islam (SRI) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) supaya tidak menghadiri program berkenaan atas alasan tertentu.

“Anak-anak kita tentu bertanya di manakah guru dan guru besar mereka pada hari yang amat penting bagi mereka.

“Saya amat kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sanggup menjadikan aspek pendidikan sebagai mangsa kepentingan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu menjayakan program berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1285
Kongsi :
Previous post JSJN Bukit Aman rampas ketamin dianggar bernilai RM111.2 juta
Next post Stigma negatif masyarakat antara faktor halang penagih tampil dapat rawatan – Khairy
Ubah saiz-+=