Skuad B-23: Hassan Sazali isi kekosongan Maloney

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PETALING JAYA, 21 Julai – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara Hassan Sazali Waras bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad B-23 yang ditinggalkan Brad Maloney.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar bagaimanapun berkata perkara tersebut bergantung kepada penilaian dilakukan Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan selain Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon sebelum keputusan tersebut dibuat.

“Hassan dia ada sasaran diletakkan untuk terus menjadi jurulatih bagi Kelayakan Piala AFC B-20 2023 di Mongolia pada September depan.

“Saya bukannya (bercakap) ya (Hassan Sazali akan dilantik sebagai jurulatih bawah 23 tahun). Mungkin…besar kemungkinan (sahaja),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di sini hari ini.

Sebelum ini, Maloney yang mengendalikan skuad B-23 mencapai kata sepakat bersama FAM untuk melepaskan jawatannya secara persetujuan kedua-dua pihak.

Justeru, nama Hassan Sazali yang membawa pasukan menjuarai Piala AFF B-19 baru-baru ini, disebut-sebut sebagai calon bagi mengisi kekosongan ditinggalkan jurulatih dari Australia itu.

Mengulas lanjut, Mohd Saifuddin berkata satu perjumpaan akan diadakan bersama Pan Gon dalam masa terdekat bagi mengetahui pandangan pengendali dari Korea Selatan itu berkaitan pelantikan ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan skuad B-23.

Beliau berkata hala tuju dalam memilih jurulatih baharu B-23 dalam masa sama perlu mengikut acuan diterapkan Pan Gon kerana skuad itu adalah pelapis kepada pasukan Harimau Malaya.

“Katakan pasukan kebangsaan mengadakan latihan setiap hari pagi dan petang jadi skuad B-23 juga perlu sama. Sebab itu, kita (FAM) kena duduk bersama Pan Gon untuk dapatkan pandangan siapa yang akan kendalikan B-23,” katanya.

Mohd Saifuddin memaklumkan skuad Harimau Malaya akan mengharungi Kejohanan Persahabatan Empat Penjuru di Thailand, pada 22 hingga 25 Sept depan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2481
Kongsi :
Previous post Penyu Agar betina ditemui mati di perairan Pulau Kapas, dipercayai dibunuh
Next post Pemilik kelab komedi didakwa buat hantaran video sentuh sensitiviti kaum di media sosial
Ubah saiz-+=