Sorting by

×

SOKONG HAD UMUR BELIA 30 TAHUN, TAPI MOHON PERTIMBANGKAN PANDANGAN RAMAI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Melaka menyokong penurunan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun, kata Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam.

Walau bagaimanapun, Shanmugam berharap pelaksanaan dijadual berkuat kuasa 1 Januari 2026 seperti ditetapkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] itu dianjakkan ke sepenggal lagi (tiga tahun).

Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan itu bertujuan untuk memberi masa yang cukup bagi menyelesaikan proses-proses penting seperti peralihan kepimpinan dan pengukuhan peranan pemimpin atau wakil belia dalam pelbagai organisasi.

“Atas beberapa faktor termasuk keperluan mempersiapkan golongan belia daripada segi kepimpinan dan penglibatan dalam jawatan tertentu, kita mencadangkan supaya pelaksanaannya dianjak sepenggal lagi, iaitu ke tahun 2027.

“Selain Melaka beberapa lagi negeri lain juga berharap pelaksanaan itu ditangguhkan ke sepenggal lagi. Kita melihat ramai belia peringkat negeri yang masih memerlukan masa dan ruang untuk mengukuhkan peranan serta menyesuaikan diri dengan perubahan dasar ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Katanya, cadangan itu disuarakan ketika Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini Hannah berkata kerajaan menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] pada 1 Januari 2026.

Beliau berkata pindaan itu antara lain membabitkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.

Katanya penetapan tarikh itu adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pada masa sama, Hannah menekankan penurunan had umur berkenaan sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post MAIM JEMPUT MUALAF JEJAK TANAH SUCI
Next post GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA DESAK TANGGUH PELAKSANAAN HAD UMUR BELIA MULAI 1 JANUARI 2026