Songkok Husien jadi pilihan kenamaan, selebriti

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

MERLIMAU 16 Mei – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, pelakon terkenal Syafiq Kyle selain Fauzi Nawawi antara kenamaan dan selebriti yang pernah menempah songkok buatan pasangan suami isteri, Husein Salleh, 61, serta isteri Norhayati Saleh, 57.

Ketelitian dan kehalusan hasil kerjanya menjadi antara penyebab songkok yang dihasilkan pasangan dari Batu Gajah, Merlimau begitu diminati ramai.

Husein antara pembuat songkok terkenal di negeri ini malah produk buatannya itu dipasarkan hingga ke Perancis dan Amerika Syarikat.

NORHAYATI menjahit songkok

Mengimbas bagaimana dia mula terlibat dengan perniagaan itu, Husein berkata, dia dan isteri tiada langsung ilmu kemahiran membuat songkok.

“Ketika itu keadaan ekonomi sedang gawat iaitu sekitar tahun 1999, saya mengambil keputusan untuk berniaga dan mencari jenis produk sesuai dengan keperluan orang Melayu, sentiasa diminati biarpun zaman berubah.

“Ketika itu baru dapat idea berniaga songkok dan saya tekad untuk berguru demi mempelajari ilmu serta menguasai kemahiran membuat songkok.

“Tidak cukup dengan itu, saya cari songkok lama, saya koyak dan jahit semula, bagi menghasilkan songkok yang terbaik serta berkualiti, ” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Katanya, setelah hampir tiga tahun menimba ilmu kemahiran pembuatan songkok, dia memberanikan diri mengatur langkah pertama, menjual songkok di sekolah agama di negeri ini.

Setelah dua tahun mengedar jualan songkok di sekolah agama, beliau mendaftarkan perniagaannya itu dengan nama Paling Atas Enterprise pada tahun 2005.

“Sejak itu, saya terus bertekad mengetengahkan populariti songkok dan tidak mahu hanya duduk diam membuat songkok di kedai, saya pergi mencari peluang mana-mana tempat menjual songkok termasuk ke pasar tani.

“Masa itu memang orang pandang sinis sebab saya satu-satunya peniaga menjual songkok orang lain menjual bahan tani dan bukan setakat itu juga, saya juga tidak ketinggalan menyertai promosi Jabatan Kraftangan,” katanya.

Usaha gigih pasangan suami isteri ini akhirnya membuahkan hasil apabila songkok mereka berjaya dipasarkan ke luar negara malah mendapat tempahan jualan sehingga RM50,000 setahun.

“Songkok kita amat diminati oleh pelancong, songkok dijadikan sebagai barangan cenderahati atau hadiah apabila pulang ke negara mereka.

“Ada dalam kalangan mereka salah faham tentang songkok yang beranggapan ia ada kaitan dengan solat dan Islam walhal ia hanyalah alat budaya.

“Sebab itu saya hairan ketika mula-mula sertai pameran kraftangan, ramai pelancong asing tidak mahu cuba memakai songkok kerana menyangka ia berkaitan dengan agama,” ujarnya.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, perusahaan songkoknya turut terkesan akibat pandemik COVID-19 dimana beliau langsung tidak menerima sebarang tempahan ketika mula-mula negara mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1217
Kongsi :
Previous post ECRL pengubah keadaan pembangunan Malaysia
Next post Lebih 500 tan sampah domestik dikutip sehari pada minggu kedua Aidilfitri
Ubah saiz-+=