SPR pamer rang daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2021 mulai esok

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun Kedua 2021 (ST2/2021) selama 14 hari mulai esok hingga 16 Ogos ini, di 822 tempat terpilih seluruh negara.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, RDPT ST2/2021 mengandungi 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 21,567 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun.

“Semakan RDPT ST2/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan iaitu hadir ke 822 tempat pameran RDPT ST2/2021 di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen serta melayari portal rasmi pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST2/2021 yang disediakan. Pemohon diminta menghubungi pejabat Pilihan Raya Negeri untuk janji temu atau maklumat waktu operasi pejabat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain itu, pemohon juga boleh melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak.

Ikmalrudin berkata, semua pemohon dinasihatkan menyemak nama masing-masing dalam RDPT ST2/2021 dan sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

Beliau berkata bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST2/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, perlu mengisi Borang C.

Borang B dan Borang C boleh dimuat turun daripada portal pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran berkenaan pada waktu pejabat sepanjang tempoh pameran itu diadakan.

“Semasa tempoh Pameran RDPT ST2/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia, hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST2/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post Isteri PM Singapura puji peningkatan kadar vaksinasi Malaysia
Next post Sesak kerana pesakit COVID-19 dibenar ‘walk-in’ tanpa tunggu panggilan PKD
Ubah saiz-+=