SRA JAIM Al-Ikhlas miliki bangunan sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MASJID TANAH 5 Ogos – Inisiatif kerajaan negeri membina Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al-Ikhlas yang berkeluasan 0.8 hektar itu memberi ruang pembelajaran yang lebih selesa kepada 657 murid.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sebelum ini murid-murid sekolah berkenaan hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Tambichik Karim bagi mendapatkan pendidikan.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk membina sekolah ini demi menjaga keselesaan dan kepentingan pendidikan anak-anak di negeri ini.

“Selagi kita memerintah kita akan membina sebanyak mungkin sekolah seperti ini.

“Sejumlah RM3.4 juta telah diperuntukkan yang mana RM2.5 juta adalah daripada kerajaan Persekutuan dan RM900,000 kerajaan negeri.

“Tanah untuk membina SRA ini diwakafkan oleh pemiliknya iaitu Haji Abdul Halim Yaakub kepada MAIM bagi tujuan tapak baharu pada tahun 1998,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SRA JAIM Al-Ikhlas Masjid Tanah di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Munirah M. Yusop, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

SULAIMAN menyantuni murid SRA JAIM Al-Ikhlas

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata SRA tersebut terbahagi kepada dua sesi pembelajaran meliputi 12 bilik darjah.

“Sekolah ini siap sepenuhnya pasa 18 Mei 2017 dan mula beroperasi pada 2 Jan 2018. Ketika itu tiada majlis perasmian kerana keperluan yang mendesak bagi pembelajaran murid-murid.

“Saya yakin dengan adanya bangunan sendiri, suasana pengajaran dan pembelajaran lebih kondusif dan selesa,” katanya.

Tambah Sulaiman setakat ini kerajaan negeri telahpun berjaya membina lima buah SRA JAIM sepanjang tahun 2020-2021 dengan bantuan kerajaan Persekutuan.

“Sekolah tersebut adalah SRA JAIM Ayer Paabas, SRA JAIM Haji Shamsudin Ujong Padang, SRA JAIM Permatang Duyong, SRA JAIM Bukit Larang dan SRA JAIM Air Merbau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2215
Kongsi :
Previous post Kembara Riuh Keluarga Malaysia edisi ke-3 bermula di Melaka hari ini
Next post SWM Environment belanja pengamal media tengok wayang
Ubah saiz-+=