Stor barangan kenderaan disangka rumah tinggal, terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DUYONG 24 Mac. “Awalnya saya sangkakan itu asap orang berdekatan membakar sampah, namun apabila berpatah balik ke arah asap berkenaan saya dapati ia daripada sebuah premis seakan rumah tinggal.

“Walaupun kelihatan seakan rumah tinggal namun apabila memikirkan keselamatan jiran berdekatan saya bergegas menelefon bomba memaklumkan kejadian,” itu kata saksi kebakaran sebuah stor simpanan barangan kenderaan di Jalan Mak Yatim, Permatang Duyong, Muhammad Qusyairi Zulkifly, 30.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu mengakibatkan kemusnahan kira-kira 80 peratus.

Menurut Muhammad Qusyairi, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Duyong Ria dari sebuah klinik.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran stor barangan kenderaan di di Jalan Mak Yatim, Permatang Duyong.

“Ketika itu asap berwarna gelap kelihatan keluar daripada bumbung rumah dan saya bimbang jika api terus merebak ke deretan kereta tersadai berhampiran premis terbabit.

“Malah waktu itu juga tidak kelihatan sesiapa mungkin tiada yang menyedari kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Soon Wee Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.17 tengah hari sebelum sepasukan anggota dan komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian pasukan bomba membuat ‘size up’ dan mendapati premis terbabit adalah bengkel jenis separa kekal yang dijadikan stor simpanan barang kenderaan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.54 tengah hari sebelum berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira 2.36 petang,” katanya.

Beliau berkata, selepas memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya dan tiada lagi bahaya di lokasi jentera dan pasukan bomba kemudian meninggalkan lokasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post Melaka tiada perancangan khusus buat penternak katak- Norhizam
Next post Kerajaan komited martabat peranan dan fungsi APM
Ubah saiz-+=