
STPM 2024: DUA ANAK MELAKA RAIH ANUGERAH PELAJAR TERBAIK KEBANGSAAN
AYER KEROH 24 Jun – Dua calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 telah mengharumkan nama Negeri Melaka apabila meraih Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan.
Dua pelajar itu adalah David Chan Keng Hoe dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Behrang yang meraih Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan dalam Aliran Sains, manakala Ahmad Hanif Roslan dari SMK Munshi Abdullah meraih Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan dalam mata pelajaran Sejarah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, STPM 2024 juga menyaksikan Negeri Melaka merekodkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) iaitu 2.88 mata, meningkat 0.07 mata berbanding tahun 2023, sekali gus merupakan PNGK terbaik dalam tempoh lima tahun.
Selain itu, jelas beliau, bilangan calon lulus juga meningkat pada kadar 99.64 peratus berbanding 99.63 peratus pada 2023, selain 13 daripada 17 buah sekolah di negeri ini telah mencatat pencapaian 100 peratus lulus penuh.
Lebih membanggakan, Rahmad memaklumkan seramai 37 calon memperoleh PNGK 4.0 tahun ini, di mana ia meningkat berbanding hanya 21 calon pada tahun 2023.
“Daerah Melaka Tengah merekodkan bilangan calon tertinggi memperoleh PNGK 4.0 iaitu seramai 29 orang, diikuti enam calon dari daerah Jasin dan dua calon dari daerah Alor Gajah.
“Daripada jumlah itu, seramai 11 calon dari Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah mendapat PNGK 4.00, diikuti lapan dari SMK Munshi Abdullah dan masing-masing tiga dari SMK Gajah Berang dan SMK Datuk Bendahara.
“Selain itu, secara keseluruhan, peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.00 dan ke atas juga meningkat kepada 526 calon atau 47.3 peratus, berbanding hanya 41.2 peratus atau 445 calon pada 2023,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Rahmad, seramai 1,112 calon telah hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2024 dan daripada jumlah itu seramai 1,108 orang layak mendapat sijil, sekali gus menunjukkan peningkatan membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) yang telah banyak memberi bantuan dan kerjasama dalam melaksanakan pelbagai program berkualiti untuk calon STPM Negeri Melaka.
“Tahniah juga diucapkan kepada seluruh warga pendidik yang terlibat, selain komitmen tinggi ditunjukkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah serta pentadbir sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah mendorong kejayaan anak didik di negeri ini.
“Semoga kejayaan ini menjadi pendorong kepada pelajar lain untuk mencipta kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.