
STRES ATAU MASALAH KESIHATAN MENTAL: RAMAI TAK SANGKA DIRI SENDIRI SUDAH TERJEJAS
Oleh: Dr. Norizan Othman
Pakar Psikiatri, Klinik Pakar Psikiatri Dr. Norizan, Melaka
MENURUT Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kira-kira 4.6% rakyat dewasa di negara ini — atau bersamaan hampir satu juta orang — mengalami kemurungan. Angka ini menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding data pada tahun 2019, satu lonjakan yang tidak boleh dipandang ringan.
Bagi mereka yang terlibat dalam bidang psikiatri dan psikologi, angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas. Di sebaliknya, ada wajah-wajah sebenar, ada cerita yang penuh air mata dan perjuangan senyap. Ia tentang individu yang kelihatan berfungsi seperti biasa, hadir bekerja, tersenyum, bercakap seperti tiada apa berlaku, namun di dalam hati mereka sedang berperang dengan keletihan yang sukar digambarkan.
“Saya ingat saya kuat, doktor. Tapi sekarang saya rasa kosong sangat.”
Ungkapan seperti ini bukan sesuatu yang asing dalam bilik konsultasi. Di sebalik kata-kata itu tersimpan keletihan emosi, hilangnya makna hidup, dan keinginan yang mendalam untuk difahami. Setiap kisah membawa lapisan emosi yang berbeza, ada yang dilukai oleh tekanan kerja tanpa henti, ada yang terperangkap dalam trauma silam, dan ada juga yang sekadar rasa hidup ini berjalan tanpa arah.
Yang lebih membimbangkan, ramai bertahan terlalu lama dalam diam. Mereka tidak sedar bahawa stres yang berlarutan boleh berubah menjadi gangguan kesihatan mental. Bila tidur terganggu, selera makan hilang, tumpuan semakin kabur, mudah marah atau mula menjauhkan diri daripada orang tersayang, itu bukan lagi tanda seseorang perlu ‘lebih kuat’. Itu adalah isyarat tubuh dan minda yang sudah meminta tolong.
Kesedaran ini penting. Kerana di sebalik setiap kisah yang kita dengar, ada peluang untuk menyelamatkan satu jiwa jika kita benar-benar berhenti, mendengar, dan memahami.
Kesihatan Mental Tak Kira Latar Belakang
Ramai orang masih anggap masalah kesihatan mental ini hanya berlaku pada ‘orang tertentu’ seperti yang terlalu manja, yang kurang berdoa, atau yang tidak pandai urus stress. Tapi itu adalah stigma negatif yang tidak berasas. Kesejahteraan emosi dan mental ini tak kenal siapa. Ada yang kelihatan berjaya di luar, tapi hatinya kosong, fikiran berserabut dan jantung senitasa berdebar. Ada yang nampak ceria setiap hari, tetapi di rumah, dia menangis dalam senyap tanpa diketahui ahli keluarga sendiri.
Mereka yang datang untung mendapatkan rawatan terdiri daripada pelbagai latar belakang, tidak megira usia, jantina, status, atau latar belakang kehidupan. Gangguan emosi ini bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana mereka terlalu lama bertahan sendirian.
Kajian lain menunjukkan hampir 1 daripada 3 rakyat Malaysia mengalami simptom berkaitan tekanan, keresahan atau kemurungan sepanjang hidup mereka (National Health and Morbidity Survey, 2019). Ini bukan isu kecil kerana ini sudah menjadi masalah masyarakat.
Perlu ditekankan, kesihatan mental ini bukan disebabkan masalah peribadi atau personaliti semata-mata. Ia juga berkait rapat dengan cara kita dibesarkan, persekitaran tempat kerja, trauma lama yang belum sembuh, atau kehilangan orang tersayang. Ini semua bukan perkara yang remeh kerana tidak semua orang mampu bangkit sendiri daripada kekacauan emosi yang dialami.
Stigma Masih Menjadi Dinding Penghalang
Satu hal yang masih menyedihkan ialah stigma. Ya, masih ramai yang memiliki stigma dengan isu kesihatan walaupun kita sudah hampir di penghujung tahun 2025. Ada yang takut nak datang jumpa Pakar Psikiatri kerana risau dilabel “gila”. Ada yang datang dapatkan rawatan tetapi menyembunyikan hal ini daripada keluarga kerana bimbang dianggap mental cepat koyak, tidak cukup kuat atau tidak kuat iman. Kadang-kadang, masyarakat kita terlalu cepat melabel, dan lupa bahawa mereka yang sedang berjuang dengan emosi sendiri itu hanya perlukan ruang untuk sembuh.
Tapi yang paling menyayat hati ialah apabila pesakit datang pada tahap yang sudah terlalu lewat. Ada yang sudah tidak boleh kerja kerana kurang fokus, ada yang mula mengabaikan anak-anak, malah ramai juga yang mempunyai pemikiran untuk mencederakan diri. Kalau mereka datang lebih awal, rawatan lebih mudah dan kesannya lebih baik (WHO, 2022).
Masyarakat kita perlu ubah cara pandang. Kalau kita boleh pergi cari doktor bila sakit perut atau demam, kenapa bila emosi kita sakit kita terus diamkan? Masih ramai yang malu untuk dapatkan bantuan kerana takut dengan persepsi orang terdekat dan juga masyarakat secara amnya.
Jangan Tunggu Sampai Tak Mampu Bangun Baru Nak Dapatkan Bantuan
Ubat membantu menenangkan minda, tapi hati dan jiwa juga perlu dirawat. Terapi, sokongan, dan kasih sayang kepada diri sendiri juga bahagian penting dalam perjalanan sembuh. Dalam banyak kes, kombinasi rawatan dan sokongan sosial memberi kesan yang sangat baik (American Psychiatric Association, 2020).
Contohnya, individu yang mengalami gejala-gejala burnout – rasa hilang semangat kerja, cepat marah dengan rakan sekerja, dan setiap malam tidak boleh tidur. Selepas beberapa sesi psikoterapi, dan dengan perubahan gaya hidup, dia kini lebih stabil dan mula rasa gembira kembali bekerja. Saban kali mereka yang beransur pulih akan menyuarakan isi hati mereka, “Saya ingat saya tak akan normal. Rupanya boleh, bila berani dapatkan bantuan.”
Tanda-tanda awal seperti cepat letih, susah fokus, rasa diri tidak berguna, atau hilang minat terhadap hobi, ini semua perlu diberi perhatian. Jangan tunggu sampai tak mampu bangun dari katil baru nak minta tolong.
Kesihatan Mental Ibarat Akar Pokok – Tak Nampak Tapi Tunjang Untuk Segalanya
Kesihatan mental tidak selalu nampak pada zahir, tapi kesannya besar. Ia pengaruhi cara kita berfikir, bekerja, membina hubungan, dan melihat diri sendiri. Bila jiwa tenang, keputusan jadi lebih jelas. Bila hati gundah, semua nampak kelam.
Menjaga kesihatan mental bukan satu kemewahan, tetapi satu keperluan hidup. Setiap individu memainkan peranan dan bertanggugjawab ke atas emosi mereka sendiri. Selain memenuhi keperluan tangki emosi sendiri, kita juga boleh menjadi pendengar yang baik kepada kawan yang sedang murung, memberi ruang pada anak remaja untuk luah rasa, atau menyokong pasangan yang sedang bergelut dengan tekanan kerja – ini semua bentuk sokongan emosi yang sangat penting tetapi jarang sekali dapat kita praktikkan dalam kehidupan seharian.
Kita juga perlu belajar lebih terbuka. Masalah kesihatan mental bukan kelemahan peribadi atau iman seseorang. Ia boleh bermula dengan stress ringan hingga menjadi penyakit dan penyakit mental juga ada rawatan yang perlu dipertimbangkan.
Sebagai penutup, saya percaya, semakin ramai yang sedar dan bercakap tentang isu ini, semakin mudah untuk kita bantu satu sama lain. Harapan saya, masyarakat Malaysia akan terus bergerak ke arah lebih empati, lebih terbuka, dan lebih sihat dari segi emosi dan jiwa.

Rujukan:
1. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2023). Kesihatan Mental Rakyat Malaysia.
2. National Health and Morbidity Survey (NHMS). (2019). Non-Communicable Diseases, Risk Factors & Other Health Problems.
3. World Health Organization. (2022). Depression and Other Common Mental Disorders: Global Health Estimates.
4. American Psychiatric Association. (2020). What Is Mental Health?
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.