Suami isteri antara empat ditahan curi sarang kelulut

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDAR MELAKA 8 Sept – Pasangan suami isteri antara empat suspek ditahan kerana disyaki mencuri sarang kelulut di sebuah rumah di Kampung Bukit Kecil Paya Dalam, di sini 19 Ogos lalu.

Suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Bukit Katil dan Kampung Alai pada jam 12.40 tengah malam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 55 tahun pada jam 1.10 tengah hari pada 19 Ogos lalu mendakwa sarang kelulutnya dicuri.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad

“Mangsa menyedari 10 batang pokok mengandungi sarang kelulut miliknya hilang dan jumlah kerugian dianggarkan RM5,000.

“Bertindak atas laporan polis menjalankan siasatan sebelum menahan semua suspek dan merampas empat batang sarang kelulut di kawasan Bukit Baru,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, penahanan suspek membolehkan polis menyelesaikan dua kes curi sarang kelulut di kawasan Melaka Tengah dan Jasin.

ANTARA lokasi sarang kelulut di Kampung Bukit Kecil Paya Dalam yang dicuri suspek. Foto – Ihsan PDRM.

“Siasatan lanjut mendapati semua suspek aktif mencuri sarang kelulut sejak bulan lalu di sekitar Melaka Tengah dan Jasin.

“Dalam serbuan dilakukan polis turut merampas motosikal jenis Yamaha 135C dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah itu,” katanya.

Menurut Afzanizar, semakan juga mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati pengusaha kelulut supaya lebih berwaspada dan mengelakkan daripada meletakkan sarang kelulut di tempat yang mudah dilihat oleh orang ramai bagi mengelakkan kes-kes seperti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post Pelajar lengkap vaksin boleh pulang UiTM
Next post Penjawat awam tolak vaksin, gagal laksana dasar kerajaan
Ubah saiz-+=