Sorting by

×

SUAMI ISTERI DISYAKI DERA BAYI LELAKI DUA BULAN DIREMAN TUJUH HARI

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 7 Mei – Pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak kandung mereka yang berusia dua bulan sehingga kritikal di sebuah rumah di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah dalam kejadian Isnin lalu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap pasangan suami isteri masing-masing berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Hakim Haderiah Siri di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Semalam media melaporan, seorang bayi lelaki dua bulan dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka akibat pendarahan dalam kepala dan luka di beberapa bahagian badan.

Kejadian itu terbongkar apabila wanita yang masih berpantang itu menghantar bayi lelaki berkenaan yang didakwa mengalami sawan ke Hospital Alor Gajah sebelum mangsa dipindahkan ke Hospital Melaka berikutan dikesan mengalami pendarahan pada kepalanya.

Difahamkan, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pendarahan baru dan lama di bahagian kiri kepala mangsa selain kesan lebam dan luka pada badan serta leher.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan mengesahkan menerima laporan daripada pegawai perubatan berusia 34 tahun berhubung kejadian itu.

Susulan kejadian itu, beliau berkata pasangan suami isteri berkenaan itu ditahan pada jam 6.30 petang semalam di hadapan Wad PICU hospital tersebut bagi siasatan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post SEBABKAN LONGKANG TERSUMBAT, SYARIKAT PEMBINAAN DIKOMPAUN RM1,000
Next post LELAKI WARGA MYANMAR MAUT TERSEPIT MESIN PAM PASIR