Sukan luar bandar promosi kawasan pelancongan Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

Jasin 2 Oktober – Kerajaan Negeri menggalakkan lebih banyak penganjuran sukan luar bandar bertujuan mempromosikan kawasan pelancongan di lokaliti berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, penganjuran itu juga menggalakkan komuniti di kampung untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sekiranya kita menyokong usaha kerajaan melalui penganjuran program begini khususnya untuk pembangunan sukan komuniti luar bandar, ia dapat menyemai gaya hidup sihat dan aktif komuniti bersasar ini.

“Program ini juga dapat membantu mempromosi destinasi luar bandar sebagai kawasan pelancongan sukan menggunakan fasiliti sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap merasmikan Program Aktif@Sukan Luar Bandar 2022 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Desa Mesra Perdana Bukit Sedanan, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka, Khairul Adri Rosli.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka sentiasa menyediakan pelbagai alternatif menggalakkan rakyat mengamalkan aktiviti sukan serta kecergasan bagi menuju kearah negara bersukan atau ‘Towards Sporting Nation’.

“Hari ini, program Aktif@Sukan Luar Bandar dilaksanakan dalam skala sederhana, namun mempunyai impaknya tersendiri kerana turut melibatkan penyertaan dari 28 DUN seluruh Negeri Melaka.

“Ini bukan sekadar pertandingan mencari nama yang baik atau kuat, tetapi membuka semangat dan pengukuhan persaudaraan antara semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung memberikan impak kepada komuniti yang ditakrifkan sebagai komuniti luar bandar dalam aspek kesihatan, pembangunan sosial dan banyak
lagi,” katanya.

Pada program itu pelbagai acara menarik disediakan antaranya sukan rakyat, pertandingan hiasan rumah, tarik tali, memanah 1,000 Liga, senamrobik, program 10,000 langkah serta kejohanan bola sepak dan bola jaring yang diadakan selama dua hari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1886
Kongsi :
Previous post Mazvin bukti wanita hebat, bawa nama Melaka di Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022
Next post Industri penerbangan, aeroangkasa harap bajet 2023 meliputi dasar utamakan teknologi
Ubah saiz-+=