Sorting by

×

SUKAN RAKYAT PERKUKUH PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TABOH NANING 20 September – Bermula dengan dam aji yang kemudian disusuli konda kondi, membuktikan Melaka serius dalam memartabatkan kembali sukan tradisional atau sukan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiaitf itu bukan sekadar untuk menggamit nostalgia sebaliknya memastikan sukan berkenaan terus diwarisi oleh generasi kini dan akan datang.

“Saya yakin, aktiviti sukan rakyat ini akan mengukuhkan silaturahim dan menjadi wahana jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, usia atau latar belakang,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Karnival Rakyat dan Kerjaya Peringkat DUN Taboh Naning di Japerun Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, wakil jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Pada majlis sama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning turut meraikan Ketua Menteri dengan acara memotong pulut kuning sebagai simbolik menyambut hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-64.

Sementara itu menyentuh mengenai pelancongan negeri, Ab Rauf Berkata, sebut sahaja Melaka, pasti terlintas difikiran sebagai destinasi bersejarah yang menjadi mercu tanda tamadun dan pusat perdagangan ulung suatu ketika dahulu.

Katanya, Melaka sekarang ini terus melangkah sebagai negeri pelancongan, pendidikan serta ekonomi yang kian berkembang.

” Insya-Allah, berbaki kurang seminggu sahaja lagi, Melaka bakal menjadi tumpuan delegasi dari 159 negara serta ahli-ahli United Nations World Tourism Organization (UNWTO) sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September 2025.

“Lebih bermakna lagi, Melaka diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026. Ini bukan sekadar acara, sebaliknya mencatat satu detik penting yang bakal memberi letupan dan dentuman nama Melaka di pentas dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

441
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED PERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Next post UBAH NASIB KELUARGA MELALUI PENDIDIKAN