Sorting by

×

SUKAN SATUKAN ORANG MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

LENDU 21 Disember – Pelbagai acara sukan yang diadakan bersempena Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita berjaya menyatukan penduduk di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.

Ia bukan sahaja mencerminkan kebersamaan, bahkan pada masa sama mengeratkan ikatan silaturahim masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.

Antara acara sukan yang diadakan ialah seperti bola jaring, street soccer, futsal liga penalti, larian etnik budaya dan explorace.

Selain itu, turut diadakan sukan rakyat seperti tarik tali, konda kondi, dam aji dan congkak, selain pelbagai sukaneka untuk kanak-kanak.

Sejak awal pagi lagi, suasana di Taman Rekreasi Bukit Beringin gamat dengan hilai tawa dan riuh rendah warga Masjid Tanah yang bersama memeriahkan karnival tersebut.

Istimewanya, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara turut bersama rakyat dalam pelbagai acara yang diadakan, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk lebih dekat di hati rakyat.

Turut bersama pada karnival itu, Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah.

Acara penutup Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita akan diadakan pada jam 2 petang ini dan disempurnakan Ketua Menteri.

Pelbagai acara dan aktiviti menarik disediakan untuk orang ramai yang hadir, selain hadiah cabutan bertuah menarik berupa sebuah kereta dan motosikal menanti pengunjung bertuah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

287
Kongsi :
Previous post REMY ISHAK HARAP KARNIVAL MASJID TANAH: KAMPUNG KITA DIADAKAN SETIAP TAHUN
Next post LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA 2025 TAMPIL LEBIH DINAMIK