SUKMA 2024: 9 sukan jadi sandaran Melaka raih emas

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 10 Julai – Sembilan daripada 37 acara sukan yang dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, 17 hingga 24 Ogos depan menjadi sandaran Melaka untuk meraih pingat emas.

Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal berkata, sembilan sukan itu adalah angkat berat, berbasikal, silat, olahraga, skuasy, renang, muay thai, tinju serta lubuk pingat negeri iaitu sukan wushu.

Sukan skuasy, misalnya, beliau memaklumkan, Negeri Melaka mempunyai dua atlet harapan yang berpotensi besar menghadiahkan kilauan pingat iaitu U. Thanusaa dan Goh Zhi Xuan yang sering mendominasi kejohanan remaja sebelum ini.

“Kita juga mempunyai potensi dalam muay thai dan tinju yang mana MSN Melaka berkolaborasi bersama Sekolah Henry Gurney di Telok Mas untuk melatih atlet-atlet di sana, selain dalam olahraga kita menjangkakan boleh meraih pingat dalam acara larian 400 meter.

“Diharap seramai 581 atlet yang dihantar pada temasya ini berjaya mencapai sasaran 20 pingat emas yang kita tetapkan walaupun berdepan cabaran lokasi kejohanan yang jauh di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wang Saguhati Kepada Atlet Negeri Melaka Yang Layak ke Sukan Olimpik 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Pejabat Ketua Menteri, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sukan, Belia dan NGO negeri VP Shanmugam.

Menurut Mohd Asri, pada penghujung bulan ini akan diadakan kem ‘team building’ SUKMA Melaka akan diadakan bersekali dengan penyerahan bendera kontinjen Melaka oleh Ketua Menteri.

“Pada majlis itu juga, Ketua Menteri akan menyampaikan amanat, selain memberi kata-kata semangat kepada atlet Melaka yang beraksi pada temasya itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1217
Kongsi :
Previous post 30,000 dijangka lawat Pameran Hang Tuah
Next post Pembinaan bangunan tambahan atasi kepadatan murid
Ubah saiz-+=