Sorting by

×

SUNGAI RAMBAI MAHU TERUS JADI LOKASI FESTIVAL DESA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SUNGAI RAMBAI 23 Disember – Sungai Rambai terus berhasrat untuk menjadikan Karnival Usahawan Desa (KUD) @Festival D’Bendang sebagai acara tahunan bagi mempromosikan pelancongan dan usahawan desa di selatan Negeri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis berkata, melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima sejak tiga edisi penganjurannya, festival itu dilihat telah berjaya membawa impak cukup besar bukan sahaja untuk kawasan Sungai Rambai, bahkan Negeri Melaka.

Jelas beliau, pada edisi ketiga tahun ini, beberapa penambahbaikan telah dibawakan, antaranya memperkenalkan sukan Muay Thai, selain beberapa sukan rakyat lain seperti dam aji dan konda kondi, sekali gus menggamatkan lagi suasana sepanjang tiga hari.

“Saya amat bersyukur kerana mendapat sokongan cukup baik bagi penganjuran festival ini. Terima kasih Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana sentiasa menyokong program ini.

“Besarlah hasrat saya agar program yang baik seperti ini akan diteruskan tahun depan dan tahun-tahun seterusnya demi limpahan manfaat kepada warga Sungai Rambai dan sekitarnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada hari terakhir festival berkenaan.

6212813169290316840
SITI Faizah mengiringi Rais dan kenamaan ketika merasmikan Beras Melaka pada Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2025 di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Terdahulu, Majlis Perasmian Penutup Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @Festival D’Bendang 2025 yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Abdul Kahar Abdullah serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, Abdul Kahar memuji penganjuran festival itu yang disifatkan mendapat sambutan luar biasa hebat saban tahun.

Katanya, dengan lebih 30 acara menarik seperti sukan rakyat, sukan bendang dan karnival jualan, Festival D’Bendang telah berada di kelas tersendiri.

“Tahniah kepada Adun Sungai Rambai kerana telah berjaya merencana program dengan cemerlang dan diharap penganjuran akan datang akan bertambah baik lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post MPHTJ CERIAKAN PINTU MASUK SEMPENA TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0
Next post PEMBANGUNAN BAHARU DI BAZAR MELAKA SENTRAL BERMULA 2026