Surau Ubudiah adakan solat Aidilfitri pertama selepas 50 tahun

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

Bukit Katil 14 Mei. – Surau Ubudiah di Kampung Baru, dekat sini, melakar sejarah tersendiri apabila julung kalinya sejak 50 tahun lalu mengadakan solat Sunat Hari Raya Aidilfitri pagi semalam.

Solat sunat diimamkan Imam II Muhammad Raflee Uda,63, itu berlangsung tepat jam 8.30 pagi dalam suasana harmoni dan lancar di surau yang dibangunkan pada 1971 itu.

Pengerusi Surau Ubudiah, Nor Jamal Nekmat, 67, berkata, pihaknya amat bersyukur dengan kebenaran diberikan pihak berkuasa agama negeri sekali gus membolehkan pihaknya melaksanakan solat sunat berjemaah.

Orang ramai melakukan imbasan suhu badan sebelum menyertai solat sunat Aidilfitri di Surau Ubudiah, semalam.

Katanya, secara tidak langsung langkah itu dapat membantu mengurangkan beban masjid dan surau kariah untuk menampung jumlah jemaah, berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 mengehadkan kehadiran bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Memang kami di pihak jawatankuasa surau amat teruja dan berbesar hati apabila permohonan kami diluluskan oleh Pejabat Mufti dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi mengadakan solat sunat Aidilfitri buat pertama kali sejak surau ini diasaskan pada 1971 oleh Allahyarham bapa saya, Sidang Mohamad Lamit.

“Alhamdulillah solat sunat berjalan lancar dengan kehadiran kira-kira 40 jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak yang mana kita mengetatkan SOP termasuk menyediakan alat pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman, buku catatan dan pengimbas kod QR MySejahtera,” katanya ketika ditemui di sini.

Nor Jamal berkata, program solat sunat Aidilfitri itu antara acara utama dirancang pihaknya.

Katanya, surau itu turut melaksanakan program ‘bank makanan’ sempena Ramadan ini dengan menginfakkan barangan makanan untuk keperluan golongan memerlukan.

“Sumbangan barangan keperluan antaranya minyak masak, susu, tepung, sardin, gula dan beras ini tidak terhad bagi kariah di kampung ini, malah kita juga memberi kepada keluarga atau individu miskin yang memerlukan,” katanya.

JEMAAH mematuhi penjarakan fizikal ketika hadir untuk solat sunat Aidilfitri.

Mengulas lanjut beliau berkata, Surau Ubudiah antara surau aktif mengadakan solat fardu berjemaah setiap waktu selain kelas pengajian agama pada Selasa malam Rabu dan kelas mengaji pada Khamis dan Jumaat setiap minggu.

“Alhamdulillah, dalam menampung kos operasi surau termasuk pembayaran bil utiliti, kita mempunyai dana hasil sewaan dua rumah selain sumbangan orang ramai.

“Surau ini juga mempunyai tempat sembelihan khas dilengkapi takungan khas untuk menyimpan sisa darah,” katanya.

PENGERUSI Surau Ubudiah, Nor Jamal Nekmat

Katanya, dua unit rumah sewa berdekatan surau itu sebelum ini dirasmikan Ketua Menteri Melaka Kesembilan yang kini Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam.

Nor Jamal berkata, ketika dibina pada 1971 di atas tanah diwakafkan oleh Maarof Kadir hanya ada 15 unit rumah asal di kampung itu dan kini meningkat kepada 65 buah.

“Pada awalnya surau ini dibina berasaskan kayu dengan imam pertama Abu Latiff sebelum dinaik taraf pada bangunan batu pada 1995,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Tangan hancur, gegendang telinga pecah akibat mercun buatan sendiri
Next post ‘Kompaun raya’ RM60,000
Ubah saiz-+=