SWM kutip 450 tan sampah sisa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BATU BERENDAM 27 Okt – Syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) telah membersihkan kira-kira 450 tan sampah sisa banjir dalam tempoh enam hari sejak 22 Okt lalu.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata kerja pembersihan itu dilakukan oleh 53 kakitangan dengan bantuan aset syarikat berupa lima jentolak, lapan lori pemungut sampah terbuka (open tipper) dan 16 unit lori RORO.

Katanya, kerja pembersihan itu melibatkan 12 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah dengan kawasan yang paling terjejas teruk ialah di Taman Murai Jaya, Batu Berendam.

“Antara lokasi lain terlibat dalam pengoperasian pasca banjir adalah Taman Melawis, Taman Bukit Beruang, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Ayer Molek, Rumah Awam Pantai Peringgit, Kampung Bukit Tambun, Kampung Machap Umboo, Kampung Berembang Jaya dan Kampung Lubok Cina.

“Kebanyakan sisa yang dikutip ialah membabitkan sisa pukal seperti sofa, perabut, mesin basuh, perkakas elektrik yang sudah rosak, tilam, dan pelbagai lagi.

JENTOLAK yang digunakan untuk membersihkan sampah sisa pukal di pusat pengumpulan sampah di kawasan-kawasan perumahan sekitar yang terbabit.

“Kesemua sisa yang dianggarkan mencecah 450 tan itu diangkut menggunakan kenderaan RORO untuk dilupus di tapak pelupusan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Kasih Cahaya Deepavali di Kuil Sri Suntharamoorthy Vinayagar, hari ini.

Mohd Norlisam berkata, bagi memastikan kelancaran operasi pembersihan sisa pasca banjir itu, waktu bekerja membabitkan kakitangannya telah dianjakkan sehingga jam 11 malam.

“Jika sebelum ini waktu bekerja sehingga jam 4.30 petang, namun untuk operasi ini masa bekerja terpaksa dianjakkan bagi memastikan pembersihan di kawasan terjejas dapat disegerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, mana-mana pemilik premis yang kehilangan tong sampah beroda (TSB) seperti dihanyutkan banjir atau rosak akibat bencana itu perlulah melaporkannya kepada pihak polis.

Katanya, pemilik boleh mendapatkan TSB baharu dengan mengemukakan borang penggantian yang dikepilkan bersama salinan laporan polis yang telah dibuat.

Jelasnya, permohonan TSB itu juga boleh dibuat secara dalam talian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1436
Kongsi :
Previous post Sasterawan negara, Kemala meninggal dunia
Next post Parti politik jangan langgar SOP – KM
Ubah saiz-+=