Syukuri nikmat kemanisan Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER MOLEK 23 Mac – Ketika awal bergelar wanita Muslim, berpuasa dianggap sebagai cabaran utama bagi mereka, namun sekarang ketibaan Ramadan amat dinanti-nantikan bagi menikmati 1,001 kemanisan dan rahmat sepanjang bulan yang mulia ini.

Nur Hafizah Abdullah, 53, berasal dari Sarawak mengakui pengalaman berpuasa buat pertama kali amat menguji ketahanan mental dan fizikal dirinya.

“Rasa lemah bila pertama kali menahan lapar dan dahaga bagi tempoh masa yang panjang, tetapi sekarang selepas 25 kali diberi kesempatan bertemu Ramadan saya kini merasai kemanisan menunaikan ibadat ini.

“Paling ditunggu adalah ketika laungan azan Maghrib, berasa sangat gembira. Timbul keinsafan setiap kali berpuasa kerana kita dapat merasa kesukaran golongan miskin yang mungkin tidak menjamah makanan dalam lebih lebih lama,” katanya.

Whatsapp Image 2024 03 23 At 9.43.01 Am
NUR Hafizah.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Singgah Sahur Bersama Mualaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek  yang dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Persatuan Anak-Anak Sabah Melaka (PASMA) di Masjid Al-Khairiah, Ayer Molek, hari ini.

Hadir memeriahkan program adalah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Datuk Rahmad Mariman, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Khairiah, Mohd Ali Momin dan Pengerusi PASMA Muhammad Idris Singging Abdul Halim.

Pada program sama, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek turut menyampaikan sumbangan kepada 20 mualaf sekitar DUN berkenaan.

Whatsapp Image 2024 03 23 At 9.43.15 Am
ZULAIKHA (kiri) bersama anak yang menemaninya ketika hadir ke program berkenaan.

Sementara itu Zulaikha Puerto Abdullah, 56, berasal dari Sabah berkata, belajar untuk berpuasa penuh dianggap sebagai satu kemanisan dikongsi bersama suami dan anak-anaknya.

“Sudah berusia baru belajar untuk berpuasa, saya mengaku itu satu dugaan sebagai wanita Muslim, tetapi suami dan anak-anak banyak membantu saya.

“Ketika baru memeluk Islam, dapat berpuasa satu hari penuh amat menggembirakan, insya-Allah saya terus istiqamah dalam melaksanakan suruhan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu program dimulakan dengan qiamullail, bersahur beramai-ramai, solat Subuh berjemaah dan diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada mualaf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

315
Kongsi :
Previous post RM50 juta baik pulih balai bomba usang
Next post Hiasan Pelita terangi DUN Sungai Rambai
Ubah saiz-+=