‘Tak sakit pun, cuma pedih sikit’

TABOH NANING 11 Disember – “Tak sakit pun, cuma pedih sedikit sahaja”.

Itu kata salah seorang peserta Program Berkhatan Peringkat DUN Taboh Naning, Mohd Hazim Mohd Fitri, 8.

Menurutnya, walaupun dia dan adik Mohd Hakim, 5 serta abangnya, Mohd Haziq,10, menjadi antara empat peserta terawal ‘masuk jawi’ pada program itu, namun mereka sama sekali tidak berasa gentar mahupun takut, sebaliknya teruja.

“Rasa kelainan apabila bersunat beramai-ramai di sini kerana ia meriah dan dapat bermain air bersama-sama rakan-rakan sebelum kami disunatkan.

“Apabila bomba sampai kami rasa macam mandi air hujan malah diraikan dengan aiskrim dan permainan gelongsor air untuk bermandi-manda bersama rakan-rakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kompleks Japerun Taboh Naning, hari ini.

Sementara itu, ibu saudaranya, Nur Atikah Masref Erman, 24, berkata ketiga-tiga beradik itu merupakan anak yatim selepas kehilangan ibunya dua minggu lalu akibat penyakit barah.

Walaupun tiada kelibat ibu di sisi, namun, ia tidak mematahkan semangat anak saudaranya itu untuk meneruskan kehidupan menjadi anak yang matang dan dewasa.

“Walaupun tanpa ibunya, saya dan abang saya akan menjaga mereka selagi ada masa terluang dan setakat ini mereka menetap di rumah nenek mereka di Ayer Paabas.

“Program diadakan ini banyak memberi manfaat kepada penduduk berikutan harga pasaran untuk berkhatan begitu mahal jadi program seperti ini banyak membantu keluarga kami,” katanya.

IMG-20221211-WA0011
NURUL Nadiah bersama suami, Muhammad Adib Amirudin,41 menyiapkan dua anak mereka, Muhammad Ziyaad,4, dan Muhammad Zaffran,8 sebelum dimasukkan ke dalam bilik rawatan untuk berkhatan pada program terbabit.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang peserta khatan, Nurul Nadiah Saaban, 34 turut tidak melepaskan peluang itu menghantar dua anaknya dalam program yang hanya mengenakan bayaran RM50 buat seorang itu.

“Amat bagus sekali program diadakan ini kerana ia banyak membantu orang-orang kampung untuk menghantar anak berkhatan dengan lebih murah.

“Sekurangnya ia dapat membantu kami sekeluarga dan berharap program ini perlu dibesarkan lagi penyertaannya dan diteruskan setiap tahun untuk diadakan di japerun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

977
Previous post Menjadikan Melaka negeri sukan berbasikal
Next post Paras air melebihi tahap bahaya di tiga negeri – JPS