Sorting by

×

Tak sangka terpilih jadi petugas bantu jemaah haji

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Mei – “Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan pemilihan ini dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk membantu jemaah haji,” kata bekas Pengarah Tabung Haji (TH) Melaka, Roslan Jonet, 59.

Beliau berkata, tiada yang lebih menggembirakannya selain dipilih sebagai petugas TH bagi membantu jemaah haji.

Roslan berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan pihak pengurusan Ibu Pejabat TH di Kuala Lumpur baru-baru ini, dirinya dipilih menyertai pasukan petugas berkenaan bagi musim haji tahun ini.

“Alhamdulillah, doa saya agar dipilih membantu jemaah haji tahun ini dimakbulkan Allah dan saya tidak akan mempersia-siakannya kerana bukan mudah untuk pegawai dan kakitangan TH dipilih sebagai petugas TH di Tanah Haram.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan segala urusan jemaah haji kita sama ada di maktab (hotel), Masjidil Haram dan Masyair berjalan lancar,” katanya selepas majlis doa selamat sempena pemilihannya itu di sebuah warung di Pengkalan Balak, di sini.

Seramai 20 jemaah Masjid al-Ehsan, Kampung Londang di sini mengaminkan doa dibacakan Imam I masjid berkenaan, Mohd Nawawi Abdullah.

Roslan menerajui TH Melaka sejak tahun lalu sebelum jawatan berkenaan diambil alih Pengarah TH Melaka yang baharu, Shahidan Taib mulai 15 Mei lalu.

Katanya, selain dia, ada dua lagi petugas TH Melaka dipilih untuk membantu mengendalikan urusan jemaah haji Malaysia di Tanah Haram pada musim kali ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, seramai 310 jemaah di negeri ini layak menunaikan haji daripada 14,306 kuota yang ditawarkan kepada Malaysia tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1568
Kongsi :
Previous post Persatuan wartawan perlu lebih agresif latih pengamal media – Annuar
Next post Subsidi mungkin cecah RM71 bilion pada 2022, inflasi terkawal – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=