Sorting by

×

TAMAN REKREASI KESANG DAMAI KINI LEBIH CERIA, KONDUSIF

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

JASIN 23 Jun – Lebih 500 penduduk sekitar Taman Kesang Damai, kini menikmati kemudahan awam lebih selesa dan kondusif setelah Taman Rekreasi Kesang Damai selesai dinaik taraf oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, projek naik taraf itu dilaksanakan hasil peruntukan Kerajaan Persekutuan dengan kos kira-kira RM500,000 dan siap sepenuhnya pada 16 Jun lalu.

“Antara fasiliti yang dinaik taraf termasuklah taman permainan kanak-kanak, laluan pejalan kaki (walkway), menanam semula rumput serta pembinaan pentas bagi tujuan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita juga sediakan gelanggang untuk aktiviti sukan seperti sepak takraw dan bola tampar bagi memberi lebih banyak ruang riadah kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui semasa Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban di taman berkenaan, semalam.

Beliau berkata, taman rekreasi ini bukan sahaja digunakan oleh penduduk Taman Kesang Damai, malah turut dimanfaatkan oleh penduduk dari taman-taman perumahan berhampiran.

“Selain manfaat penduduk Taman Kesang Damai, kawasan riadah ini juga menjadi tumpuan orang ramai tinggal berhampiran, terutama apabila ada penganjuran program seperti WRUR ini. Kerja-kerja naik taraf ini turut akan menyelesaikan beberapa isu lama termasuk masalah parkir,” katanya.

Katanya lagi, MPJ turut menyerahkan sijil siap perakuan kerja (CPC) kepada pihak berkaitan hari ini, sekali gus menandakan projek tersebut siap dengan sempurna.

“Projek ini mula dilaksanakan awal tahun ini dan kita berikan sedikit lanjutan masa bagi memastikan beberapa penambahbaikan tambahan dapat dilaksanakan dengan baik. Fasiliti ini untuk kegunaan bersama, jadi tanggungjawab semua untuk memastikan ia kekal terpelihara,” ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Muhammad Zahiruddin berkata, MPJ sedang mengenal pasti beberapa lagi taman lama yang berpotensi untuk dinaik taraf, tertakluk kepada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Jika mendapat kelulusan, kita akan teruskan usaha menambah baik taman permainan di kawasan-kawasan perumahan lain, khususnya taman yang telah lama dibangunkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

524
Kongsi :
Previous post ISU BANJIR, SRA JAIM FOKUS UTAMA WRUR DUN BEMBAN
Next post KARIPAP PUSING USAHAWAN MAIM SEMAKIN TERSOHOR