Tambah pusat mengundi jika PRN Melaka diadakan

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

GADEK 10 Okt. – Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd
Redzuan Mohd Yusof mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah pusat mengundi dan bekerjasama dengan polis bagi mengawal jentera parti jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

Beliau menegaskan, pusat mengundi harus ditambah bagi mengelakkan terlalu ramai pengundi dan kakitangan SPR berada di satu-satu pusat berkenaan, sejajar penjarakan fizikal bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Katanya, SPR harus meneliti perkara itu dengan serius kerana pandemik berkenaan masih menular dalam kalangan masyarakat walaupun aliran sekarang menunjukkan ada penurunan kes.

“Saya secara peribadi tidak menyokong PRN Melaka diadakan kerana ia mendedahkan orang ramai kepada bahaya pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, jika ia diadakan, saya minta SPR menambah
pusat mengundi bagi mengelakkan terlalu ramai orang berkumpul di tempat itu,” katanya.

Beliau ditemui ketika menderma darah pada program ‘Jom Derma Darah: Satu Darah Satu Harapan Sejuta Senyuman’ anjuran Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dengan kerjasama Bank Darah Hospital Melaka (BDHM) di Balai Raya Kampung Gadek, di sini hari ini.

Seramai 100 orang menderma darah bagi membantu memastikan bekalan darah di BDHM sentiasa mencukupi.

Hadir sama, isteri Mohd Redzuan, Datin Seri Hamidah Osman dan Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan berkata, SPR juga harus bekerjasama dengan polis bagi menyekat jentera parti dari negeri lain masuk ke Melaka bagi membantu jentera tempatan.

“Kalau terlalu ramai jentera berkampung di negeri ini, saya amat bimbang bilangan kes pandemik COVID-19 meningkat semula seperti yang berlaku dalam PRN Sabah tahun lalu.

“Biarlah jentera tempatan saja yang bekerja dan jangan babitkan jentera dari negeri lain walaupun larangan rentas negeri dimansuhkan,” katanya.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, beliau sudah menjangka ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan negeri akan keluar daripada kerajaan tetapi tidak menjangka Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan.

“Memang sudah lama saya menghidu perkara itu (ADUN keluar kerajaan) tetapi tidak sangkalah pula DUN akan dibubarkan hingga menyebabkan PRN harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak, terutama jentera parti supaya memberikan kerjasama kepada SPR dan polis dalam usaha membantu menyekat rantaian pandemik COVID-19.

Katanya, tiada gunanya pihak tertentu menang PRN tetapi
jumlah kes pandemik COVID-19 meningkat mendadak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post Gerakan sedia hadapi PRN Melaka
Next post Tiada SOP baharu susulan kebenaran rentas negeri- PM
Ubah saiz-+=