Tanah runtuh: ‘Jangan sampai hilang nyawa, baru nak bertindak’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

RIM 15 November – “Isu ini tidak pernah dirujuk dan dibawa berbincang bersama saya, jangan sampai ada kehilangan nyawa, baru nak (hendak) bertindak,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Beliau berkata demikian mengenai isu tanah runtuh yang menghantui penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana yang didakwa sudah berlarutan hampir dua tahun.

Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri meminta supaya agensi terlibat segera mencari jalan penyelesaian jangka panjang berhubung masalah tersebut.

“Sudah beberapa kali saya turun ke kawasan Taman Lipat Kajang untuk lihat sendiri masalah tanah runtuh dan bawa bersama agensi yang terbabit. Namun, tidak pernah ada jalan penyelesaian daripada agensi yang bertanggungjawab.

“Hasil jawapan yang saya dapat adalah ‘agensi A yang sepatutnya selesaikan masalah, kalau ikutkan tempat ini agensi B yang bertanggungjawab, kami ingat agensi C yang jalankan kerja ini’ dan sehingga kini asyik menuding jari antara satu sama lain bagi skop kerja ini,” katanya pada satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Dalam pada itu, Khaidhirah meluahkan rasa kecewa kerana masalah itu dikhuatiri menjejaskan keselamatan penduduk di taman itu.

“Saya amat kecewa kerana lebih kurang 2,000 penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana dalam keadaan bahaya untuk menghadapi risiko tanah runtuh ini.

“Setiap kali saya turun di sini, hanya penyelesaian jangka masa pendek sahaja dilakukan iaitu tambak tanah, selepas itu apabila tiba musim hujan, ia hanyut dek arus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1411
Kongsi :
Previous post MADA, agensi lain diarah selesai segera isu harga benih padi sah – Mohamad
Next post 1,000 penjawat awam Melaka diraikan
Ubah saiz-+=