Sorting by

×

TANAH TERBIAR: TUAN TANAH PERLU LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PENGKALAN BATU 7 Januari – Penyelesaian bersama agensi berkaitan akan dilakukan bagi menyelesaikan isu tanah terbiar yang mencetuskan rasa tidak selamat dalam kalangan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, isu tanah terbiar terutamanya milik individu sering mengundang pemasalahan apabila dibiarkan tanpa pemantauan sehingga kawasan dipenuhi semak samun sekali gus menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa.

“Hal ini kita akan bawa dan rujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka untuk membuat semakan bagi mengenal pasti pemilik tanah.

“Kerjasama pemilik tanah diperlukan bagi memastikan kawasan milik mereka berada dalam keadaan bersih dan selamat selain tidak mencetuskan kegusaran komuniti setempat.

“Sekiranya pemilik atau pihak yang terlibat enggan bekerjasama kita mohon tindakan lebih tegas diambil oleh PTG Melaka, pihak berkaitan termasuk Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata demikian ketika ditemui ketika melakukan tinjauan berhubung tanah terbiar dipenuhi semak samun di Jalan Pulau Kelapa 3, hari ini.

Menurut Kalsom, isu tanah terbiar itu bukan sahaja pernah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) malah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menegaskan tindakan boleh diambil semasa Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, baru-baru ini.

“Justeru itu saya amat berharap pihak yang terbabit dapat mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan tanah terbiar ini tidak mendatangkan masalah sehingga mencacatkan pemandangan sekitar.

“Isu ini bukan baru tetapi berlarutan sudah lama oleh itu pemilik atau waris tanah harus lebih bertanggungjawab,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

805
Kongsi :
Previous post MPJ SEDIA LOKASI PERNIAGAAN LEBIH TERATUR, SELAMAT
Next post INFRASTRUKTUR SOKONGAN BAKAL TINGKAT HASIL PADI DI KLEBANG