
TANJUNG MINYAK DAPAT LIMPAHAN NIKMAT
PAYA RUMPUT 22 Februari – Pelbagai limpahan nikmat dirasai warga Tanjung Minyak di bawah kepimpinan Datuk Rais Yasin selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Minyak Kamal B. Bawker, 52, berkata, antara limpahan yang dirasai adalah dalam sudut pembangunan infrastruktur seperti naik taraf jalan, longkang dan rumah rakyat memerlukan.
Selain itu, katanya, masyarakat di kawasan itu juga bakal memiliki sebuah sekolah menengah baharu yang kini sedang dibangunkan bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2.
Jelas beliau, ia sekali gus meleraikan dilema penduduk di kawasan ini yang terpaksa menghantar anak ke sekolah jauh dari rumah selain berdepan ketidakselesaan dengan kepadatan pelajar.
“Alhamdulillah, wakil rakyat kami sentiasa cakna dalam permasalahan rakyat dan banyak membantu masyarakat memerlukan terutamanya dalam aspek kebajikan.
“Sebagai pemimpin setempat, saya juga sangat senang bekerjasama dengan YB (Yang Berhormat) Datuk Rais terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu rakyat di kawasan ini,” katanya.
Menurut beliau, di bawah JPKK Tanjung Minyak terdapat kira-kira 3,000 penduduk merangkumi beberapa buah kampung dan taman perumahan.
Jelas Kamal, antara produk ikonik di kawasan itu adalah seperti Masjid Tun Mohd Khalil Yaakob yang menjadi satu-satunya masjid yang dinamakan sempena nama Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam.
Selain itu, ujarnya, kampung berkenaan juga terkenal dengan sate 50 sen yang masih dijual sehingga kini.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Karnival Demi Paya Rumput, beliau berkata, ia merupakan satu program yang amat baik dalam mengeratkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat.
“Menerusi karnival ini, seluruh penduduk bukan sahaja di Tanjung Minyak, malah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput mendapat limpahan manfaat ketara dalam pelbagai program yang dianjurkan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


