Tapak niaga baru jamin keselamatan peniaga dan pengguna

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Ogos – Seramai 37 peniaga di Jalan Pantai Rombang-Tanjung Kling kini dapat berniaga dengan lebih selesa dan selamat di tapak perniagaan baharu Pasar Pagi Pantai Puteri, di sini.

Sehubungan itu Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Pagi Pantai Puteri, Mohd Isa Jantan, 65, berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor yang menguruskan pembukaan tapak perniagaan baharu itu melalui kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.

“Kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada JAPERUN serta Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah kerana menyediakan tapak perniagaan baharu yang hanya beberapa meter dari tapak lama.

“Sebelum ini kami diminta berpindah dan kami tidak membantah demi keselamatan kami dan pelanggan dan alhamdulillah, kami sudah berpindah mulai semalam,” katanya ketika ditemui di tapak berkenaan hari ini.

NOR AZMAN (kiri) berbincang dengan peniaga Pasar Pagi Pantai Puteri ketika meninjau tapak baharu pasar berkenaan hari ini.

Operasi perniagaan di tapak baharu yang masuk hari kedua hari ini, ditinjau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan bagi mendengar keluhan dan pendapat peniaga dan pengguna.

Mohd Isa berkata, sebelum ini peniaga memenuhi kiri dan kanan jalan, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengancam keselamatan pengguna dan peniaga.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada sesiapa yang dirempuh kenderaan kerana pengguna jalan raya memperlahan kenderaan dan melalui jalan ini dengan berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman berkata, JAPERUN Pantai Kundor amat bimbang dengan keselamatan pengguna dan peniaga berikutan kesesakan lalu lintas yang semakin teruk sejak beberapa tahun lalu.

“Walaupun pengguna jalan raya memberikan kerjasama yang baik dengan memperlahan kenderaan ketika melalui pasar itu, saya bimbang keselamatan mereka terancam.

“JAPERUN mengambil inisiatif menyewa tapak perniagaan itu daripada individu sebelum menjalankan kerja membersihkan tanah dan meratakannya dengan batu,” katanya.

Beliau berkata, kebenaran yang diberikan Jawatankuasa Khas COVID-19 Melaka kepada perniagaan pasar pagi mulai semalam, amat bertepatan dengan usaha menyediakan tapak perniagaan itu sejak minggu lalu.

Katanya, aktiviti perniagaan pasar pagi yang kebanyakannya membabitkan makanan, minuman, buah-buahan dan bunga membantu perniagaan ikan di pasar basah yang berhampiran tapak berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1631
Kongsi :
Previous post ‘Syukur boleh niaga semula’ – peniaga
Next post Tiga maut: Polis kesan pemandu rempuh enam motosikal
Ubah saiz-+=