
TAPAK PENJAJA MITC BERWAJAH BAHARU
BANDA HILIR 25 Disember – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyahut saranan Kerajaan Negeri dengan menyediakan tapak penjaja berpusat yang lebih kondusif, selamat dan mesra pelanggan.
Antara lokasi yang bakal menyediakan tapak penjaja moden itu adalah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di kawasan berhampiran sungai yang berhadapan Pejabat Unit Operasi Indah Water Konsortium Melaka.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, tapak penjaja itu bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf dengan peruntukan berjumlah RM600,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Jelas beliau, projek naik taraf itu dijangka akan siap pada Januari 2026 sebelum pemindahan semula peniaga dilakukan.
“Jika sebelum ini, kita melihat peniaga hanya menggunakan khemah satu persatu, tetapi selepas dinaik taraf ia akan kelihatan lebih tersusun dan menarik, di mana antara kemudahan disediakan ialah tempat untuk memasak dan membasuh.
“Selain itu, aspek pencahayaan juga ditambah baik dengan penyediaan lampu serta papan tanda baharu yang dapat menjadikan tapak itu sebagai lokasi tumpuan ramai untuk bersantai sambil menjamu selera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasasi MPHTJ 2025 yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Menurut Sapiah, inisiatif itu antara usaha dilakukan MPHTJ dalam menyediakan fasiliti lebih selesa kepada peniaga di Hang Tuah Jaya, seterusnya menghidupkan lagi Ayer Keroh sebagai antara lokasi tumpuan pelancong dan orang ramai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


