Sorting by

×

TAPEM komited mantapkan program bersama pelajar Melaka di luar negeri

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

Oleh: Is Syakir

AYER KEROH 2 Julai – Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa berkata, program bersama Persatuan Pelajar Anak Negeri Melaka di universiti dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara akan diteruskan dan dimantapkan lagi.

Menurut beliau, ia berikutan kejayaan program itu menjadi platform pelajar untuk aktif dalam persatuan yang bukan saja tempat bertukar-tukar pandangan dalam bidang pengajian tetapi wadah membina jati diri.

“TAPEM menjadi penghubung jalinan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Melaka untuk menyantuni pelajar Anak Melaka di setiap universiti dan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Ruang ini juga membakar semangat patriotik dan memupuk keharmonian Keluarga Malaysia kepada pelajar-pelajar sebagai generasi pelapis yang akan menyambung legasi pentadbiran negara terutama mencapai negara maju,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa Anak Negeri Melaka di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali juga turut bersama memberi ucapan perangsang melalui pancaran video.

Kini setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah mempunyai Persatuan Anak Negeri seperti Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM), Perkumpulan Anak-Anak Melaka (Purnama), Sekretariat Anak Melaka (SAM), Persatuan Mahasiswa Anak Melaka (Persawa) dan pelbagai nama mengikut syarat dan dasar ditetapkan institusi terbabit.

SESI bergambar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa Anak Negeri Melaka di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Menurut Mustafa, program seperti itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Melaka terhadap kebajikan dan kecemerlangan pelajar Melaka.

“Pelajar Anak-Anak Melaka dari pelbagai persatuan terbabit dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa berdaya maju dan berdaya saing serta bakal menjadi pemimpin negeri dan negara.

“TAPEM juga menyediakan pelbagai produk untuk membantu pelajar Melaka menyambung pelajaran di pelbagai peringkat, terutama pengajian pengajian tinggi,” jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Melaka sentiasa komited mencapai hasrat pembangunan pendidikan dan kebajikan mahasiswa dengan menyediakan perancangan seperti Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin, Program Motivasi, Kemasyarakatan, Kebajikan dan sebagainya melalui TAPEM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1297
Kongsi :
Previous post Bekalan minyak masak peket pulih dalam masa terdekat – KPDNHEP
Next post Melaka kekurangan darah jenis O
Ubah saiz-+=