Sorting by

×

Tarikh baharu UPKK 2021 pada 15 hingga 18 November

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PUTRAJAYA 7 Sept – Peperiksaan subjek bertulis bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2021 yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober ini ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu pada 15 hingga 18 November, umum Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara bertarikh 6 September lalu.

Katanya Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 15 Ogos telah membuat satu keputusan berkaitan pembukaan sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Oktober ini secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan mengikut perincian Pelan Pemulihan Negara.

Selaras dengan keputusan tersebut, Idris berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membuat keputusan untuk pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK bermula pada tarikh sama mengikut ketetapan tersebut.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad. Foto – FB YB Idris.

“Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin serta persediaan pusat peperiksaan, dimaklumkan peperiksaan UPKK tahun 2021 bagi subjek bertulis yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober ini ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Peperiksaan UPKK 2021 melibatkan calon UPKK 2020 dan 2021.

Pada 11 November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata, ujian UPKK 2020 akan dilakukan serentak dengan UPKK 2021 pada 4 hingga 7 Oktober 2021.

Zulkifli dilaporkan berkata keputusan itu dilakukan oleh Jakim selepas mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan ia melibatkan lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah Al-Quran.

Sementara itu, Idris berkata Jakim dengan kerjasama semua agensi telah menyediakan pelan tindakan demi memastikan UPKK dapat dilaksanakan dan berjalan lancar.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa pandemik COVID-19 khususnya aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan,” katanya.

Idris berkata ketetapan telah dibuat bahawa hanya petugas peperiksaan yang mendapat dua dos lengkap vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan bertugas di semua pusat peperiksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post 446 usahawan terima RM1,000 menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga
Next post Rampasan kuasa tentera di Guinea: Semua rakyat Malaysia selamat- Kedutaan
Ubah saiz-+=