‘Tegur bukan sebab benci, tapi sebab sayang’ – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT KATIL 2 Jun – “Saya tegur bukan sebab benci, tetapi saya menegur tanda kita sayang”.

Itu penjelasan Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung tegurannya secara terbuka di laman Facebook terhadap Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang didakwa menggelar perwakilan sebagai penakut pada Konvensyen Barisan Nasional (BN), semalam.

Jelas Muhamad Akmal susulan tegurannya itu, beliau telah dihubungi pegawai-pegawai Ahli Parlimen Ketereh itu.

Namun, beliau menegaskan teguran secara terbuka itu perlu dilakukan memandangkan ramai perwakilan yang hadir terasa hati dengan kenyataan yang disuarakan secara lantang itu.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau meminta Annuar agar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua perwakilan yang hadir pada konvensyen berkenaan.

“Saya mohon Tan Sri Annuar untuk mohon maaf kepada semua perwakilan yang hadir sebab kenyataan melabel kami sebagai penakut betul-betul mengguris perasaan.

“Bagi saya, perbezaan pendapat tidak menjadi masalah, Tan Sri tak bangun (menyokong ucapan) pun tiada masalah, tetapi Tan Sri perlu hormat pendapat orang lain. Janganlah disebabkan perbezaan pendapat, Tan Sri meremehkan pendapat orang lain.

“Itu satu perkara bagi pemimpin utama yang tidak boleh diterima oleh kami di peringkat bawahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Hari Jururawat Negara Peringkat Negeri Melaka di Bayou Lagoon Resort Melaka, hari ini.

Semalam, Muhamad Akmal menerusi laman Facebooknya menyatakan teguran secara terbuka di kepada Annuar selepas menghadiri Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan Annuar yang didakwa menggelar ahli BN sebagai penakut apabila perwakilan berdiri semasa ucapan Ahmad Zahid dan menyokong supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

772
Kongsi :
Previous post Krisis air penduduk SPS dijangka selesai dalam dua bulan
Next post Tiga lelaki warga asing didakwa edar kanabis
Ubah saiz-+=